Friday 14 October 2016

Rizabnomics: Bagaimana Kerajaan Negeri Selangor Mengumpul Rizab?

Di dalam tulisan saya yang lepas saya ada membandingkan jumlah rizab negeri atau bahasa formalnya Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri Selangor semasa Selangor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan selepas Pakatan mengambil-alih kerajaan negeri Selangor selepas 2008.
Di dalam tulisan kali ini saya akan menerangkan bagaimana kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan yang mengamalkan pengurusan kewangan dan ekonomi kerajaan berasaskan konsep “Rizabnomics” boleh mengumpul rizab sehingga berbillion-billion Ringgit dan kesannya kepada rakyat Selangor.
Pertama mari kita faham secara ringkas apa itu Kumpulan Wang Disatukan atau “rizab” kerajaan negeri supaya selepas ini ada pemimpin pembangkang menyebut rizab negeri Selangor kita tahu rizab apa yang dimaksudkan oleh mereka.
Selaras dengan arahan perbendaharaan negara, Kumpulan Wang Disatukan adalah sebuah kumpulan wang di mana segala hasil yang dikutip dan terimaan apa-apa wang oleh kerajaan negeri mesti dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.
Kumpulan Wang Disatukan ini terdiri daripada tiga akaun utama iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.
Akaun Hasil Disatukan adalah akaun dimana segala hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil dimasukkan.
Akaun Pinjaman Disatukan adalah akaun dimana segala pinjaman yang diterima daripada kerajaan persekutuan dimasukkan.
Akaun Amanah Disatukan adalah akaun khas untuk wang yang diperuntukkan bagi tujuan-tujuan spesifik yang ditentukan semasa penubuhan akaun-akaun amanah tersebut.
Berikut adalah Kumpulan Wang Disatukan atau rizab negeri yang dikumpul kerajaan negeri di antara 2008 sehingga 2014 berserta komponen-komponen akaun di bawah kumpulan wang tersebut:


Rizab Kerajaan Negeri Selangor (2010-2014)
Dari 2008 sehingga 2014 rizab kerajaan negeri Selangor berubah daripada RM1.424 billion kepada RM3.201 billion iaitu peningkatan sejumlah RM1.776 billion bagi tempoh 7 tahun pemerintahan kerajaan Pakatan PKR-DAP-PAS.
Peningkatan RM1.776 billion tersebut, adalah daripada RM528.37 juta peningkatan di dalam Akaun Hasil Disatukan dan RM1.248 billion peningkatan di dalam Akaun Amanah Disatukan yang bermaksud 70% peningkatan rizab kerajaan negeri adalah daripada peningkatan di dalam Akaun Amanah Disatukan dan 30% adalah daripada peningkatan di dalam Akaun Hasil Disatukan.
Kerajaan negeri mungkin boleh ambil kredit daripada peningkatan di dalam Akaun Hasil Disatukan yang naik sejumlah RM528.37 juta sejak 2008 sehingga 2014 kerana hasil-hasil dikutip oleh kerajaan negeri sendiri tetapi wajarkah kerajaan negeri mengambil kredit daripada kenaikan di dalam Akaun Amanah Disatukan yang menyumbang 70% kenaikan rizab negeri Selangor sejak 2014?
Akaun Amanah Disatukan adalah akaun yang terdiri daripada pelbagai jenis akaun-akaun amanah yang mana komponen utamanya adalah Kumpulan Wang Amanah Kerajaan, Kumpulan Wang Amanah Am dan Akaun Deposit.
Bagi tahun 2014, jumlah wang di dalam Akaun Amanah Disatukan adalah RM1.998 billion yang terdiri daripada Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (RM1.549 billion), Kumpulan Wang Amanah Am (RM356 juta) dan Akaun Deposit (RM93.75 juta).
Di dalam Kumpulan Wang Amanah Am yang berjumlah RM1.549 billion pula ianya terdiri daripada Kumpulan Wang Pembangunan (RM173 juta), Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan (RM40 juta), Pelbagai Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (RM1.323 billion) dan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (RM11.5 juta).
Mari kita fokus kepada Pelbagai Kumpulan Wang Amanah Kerajaan yang berjumlah RM1.323 billion yang mewakili sebahagian besar Akaun Amanah Disatukan di dalam rizab negeri Selangor:
Daripada RM1.323 billion di dalam Pelbagai Kumpulan Wang Amanah Kerajaan, 60% atau RM804 juta adalah dalam bentuk Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri.
Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri adalah kumpulan wang yang merekod terimaan wang daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri bagi tujuan menyelenggara jalan-jalan negeri seperti diterangkan di dalam penyata kewangan negeri Selangor di bawah:
Setiap tahun kerajaan akan memperuntukkan sejumlah wang kepada kerajaan negeri mengikut panjang jalan iaitu 15,185.17KM di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk tujuan menyelenggara jalan-jalan tersebut.
Jumlah peruntukan yang diserahkan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Selangor dan jumlah yang dibelanjakan kerajaan negeri Selangor adalah seperti berikut:
Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Negeri (2008 - 2012)
Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Negeri (2010 - 2014)
Baki Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri meningkat daripada RM119 juta pada 31 Disember 2008 kepada RM804 juta pada 31 Disember 2014 iaitu peningkatan sejumlah RM685 juta.
Bagaimana baki kumpulan wang ini boleh meningkat?
Ini kerana kerajaan negeri tidak membelanjakan wang tersebut dengan sepenuhnya contohnya sepanjang 2010 sehingga 2013, kerajaan negeri Selangor hanya membelanjakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan persekutuan.
Disebabkan kerajaan negeri gagal membelanjakan wang penyelenggaraan jalan negeri ini dengan optimum, baki akaun Kumpulan Wang Amanah Penyelengaraan Jalan Negeri meningkat mendadak sejak 2008.
RM804 juta pemberian kerajaan persekutuan ini adalah antara RM3.2 billion rizab negeri yang sering dibanggakan pemimpin Pakatan.
Wang yang sepatutnya digunakan untuk menyelenggara jalan-jalan negeri disimpan dan diperam di dalam Kumpulan Wang Disatukan/Rizab untuk dibangga-banggakan sedangkan ada banyak jalan-jalan di dalam negeri Selangor berada di dalam keadaan yang tidak memuaskan.
Peningkatan jumlah di dalam Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri ini juga menyumbang hampir 40% daripada peningkatan keseluruhan rizab negeri sejak 2008.
Kerajaan negeri juga menggunakan wang daripada Kumpulan Wang Amanah Penyelengaraan Jalan Negeri di bawah MARRIS ini untuk perbelanjaan lain seperti penyelengaraan pangsapuri kos rendah di Selangor:
Sinar Harian 1 Ogos 2016
Di manakah wang lain di dalam rizab yang berbillion-billion sehinggakan kerajaan negeri terpaksa menggunakan wang untuk tujuan menyelenggara jalan bagi menyelenggara pangsapuri kos rendah di Selangor?
Rakyat Selangor perlu menilai prestasi kewangan kerajaan dengan bagaimana ianya digunakan untuk rakyat bukan semata-mata kerana angka-angka seperti rizab negeri.
Sebelum kita merasa kagum dengan kenaikan rizab negeri Selangor sehingga mencecah billion Ringgit kita perlu fahami bagaimana rizab itu boleh naik, dari mana wang itu datang dan untuk tujuan apa ianya dibelanjakan.
Pemimpin Pakatan sering mencanang jumlah rizab dan kenaikan rizab negeri tetapi mereka tidak menerangkan dengan jujur bagaimana rizab ini berjaya dikumpul sedemikian banyak.
Tidak pernah sekalipun kerajaan negeri Selangor mengucapkan terima kasih atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada rakyat Selangor bahawa hampir separuh kenaikan rizab sepanjang pemerintahan Pakatan adalah sumbangan atau pemberian daripada kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional.
Bukan sahaja kerajaan negeri gagal menggunakan wang yang diperuntukkan kerajaan persekutuan dengan optimum, malah kerajaan negeri juga menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain daripada tujuan asal ianya diperuntukkan.
Rakyat Selangor perlu peka dan sedar tentang perkara-perkara seperti ini kerana ahli-ahli politik Pakatan sering menggunakan sentimen bahawa pengurusan kewangan kerajaan di bawah pentadbiran mereka cekap sedangkan ia adalah sebaliknya.
Rakyat sepatutnya mendapat manfaat daripada wang yang diperuntukkan tersebut tetapi kerajaan negeri menyimpan dan memeram wang itu untuk dijadikan modal politik murahan untuk mengaburi mata rakyat kebanyakan.
Sumber: 
Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor, Akaun Amanah Disatukan, Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor

No comments:

Post a Comment