Saturday 15 October 2016

Kerajaan Pulau Pinang Yang Gagal

Sudah menjadi tabiat pemimpin Pakatan mengelirukan rakyat dengan angka-angka tanpa memberi konteks kepada angka yang mereka petik dan canang kepada rakyat.
Terkini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (LGE) memuatkan status di dalam Facebook beliau tentang bagaimana kononnya kerajaan di bawah pimpinan beliau telah berjaya mengurus ekonomi dan kewangan Pulau Pinang dengan cemerlang dan berjaya membawa ekonomi Pulau Pinang keluar daripada kebobrokan dan kebejatan ekonomi yang disebabkan oleh kepincangan dan ketempangan dalam pentadbiran ekonomi dan kewangan Pulau Pinang di bawah Barisan Nasional sebelum 2008.
Sebagai rakyat yang prihatin dengan penyebaran maklumat palsu oleh politikus-politikus terutamanya politikus pembangkang yang sering bermain dengan sentimen dan persepsi untuk mengaburi mata rakyat, saya rasa terpanggil untuk memberi kenyataan balas kepada kenyataan LGE yang dimuat naik sebentar tadi.
Seperti tulisan-tulisan saya sebelum ini saya akan menggunakan angka, statistik dan data yang tersedia dan dikutip daripada Jabatan Perangkaan Negara untuk statistik ekonomi Pulau Pinang dan Jabatan Audit Negara untuk data dan angka kewangan kerajaan Pulau Pinang.
LGE mendabik dada apabila Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan KDNK per kapita (pertumbuhan ekonomi dibahagi dengan setiap penduduk) tertinggi di kalangan negeri-negeri di Malaysia.
"Dalam masa lapan tahun, Kerajaan Pakatan telah berjaya mengubah Pulau Pinang, negeri tercorot di bawah pentadbiran BN pada tahun 2006–2007, menjadi juara nombor satu dalam kadar pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2014–2015."
Masalahnya di sini bukan tentang statistik dan angka tetapi interpretasi data itu sendiri.
Apabila LGE menyebut daripada tercorot kepada “juara nombor satu” ia melambangkan kecetekan ilmu ekonomi beliau sendiri.
Di dalam mengukur pertumbuhan ekonomi sesebuah negara atau negeri, ranking atau kedudukan berbanding negara atau negeri lain tidak sepatutnya digunakan sebagai penanda aras.
Ini kerana ranking seperti ini tidak membawa apa-apa nilai kepada perbandingan ekonomi antara negara atau negeri.

Saya bagi contoh pertumbuhan KDNK/kapita tahunan di dalam dunia pada 2015 (berbanding 2014) yang dikutip daripada World Bank: 
Jika World Bank mengadakan kedudukan/ranking (mereka tidak ada!) pertumbuhan KDNK/kapita untuk seluruh negara dalam dunia, West Bank dan Gaza (Palestin) akan menduduki tangga yang pertama.
Menakjubkan bukan?
Tetapi adakah ekonomi Palestin lebih baik contohnya, daripada China atau India yang mencatat pertumbuhan KDNK/kapita lebih rendah daripada Palestin dan menduduki tangga ke-5 dan ke-6 “kedudukan/ranking” pertumbuhan KDNK/kapita seluruh dunia?
Sekarang mari kita lihat “kedudukan/ranking” yang tercorot pula sekadar untuk perbandingan yang tidak membawa apa-apa makna:
Kuwait antara negara yang mana pertumbuhan KDNK/kapita mereka adalah tercorot dalam dunia pada 2015!
Adakah ini bermakna ekonomi dan kualiti hidup rakyat Kuwait adalah lebih baik daripada Palestin yang mencatatkan pertumbuhan KDNK/kapita di tempat pertama dalam kedudukan/ranking yang tidak bermakna tersebut?
Sudah tentu tidak.
Sama juga seperti kenaikan kedudukan/ranking pertumbuhan KDNK/kapita Pulau Pinang yang dikatakan tercorot pada 2007 iaitu 5.9% dan menjadi “juara” KDNK/kapita pada 2015, ianya tidak membawa apa-apa makna langsung.
Untuk rujukan pertumbuhan KDNK/kapita setiap negeri sejak 2006 sehingga 2015 saya lampirkan jadual data tersebut yang dikutip daripada Jabatan Perangkaan Negara:

Pertumbuhan Tahunan KDNK Per Kapita Negeri-Negeri di Malaysia: Jabatan Perangkaan Negara
Pada 2008 contohnya, Sabah menjadi “juara” pertumbuhan KDNK/kapita dengan catatan pertumbuhan 24.24%, pada 2010 Labuan (23.22%), pada 2011 Sarawak (15.98%), 2012 Labuan (11.61%) dan seterusnya sehingga Pulau Pinang pada 2015 dengan catatan pertumbuhan 6.45%.
Bolehkah kita kata Sabah pada 2008 selaku “juara” KDNK/kapita adalah disebabkan pengurusan ekonomi cemerlang kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Musa Aman?
Pada 2011, Sarawak mencatat pertumbuhan KDNK/kapita tertinggi di dalam Malaysia (juara menurut LGE), adakah ini bermakna kerajaan negeri BN pimpinan Ketua Menteri pada masa itu Taib Mahmud menguruskan ekonomi dengan cemerlang?
Saya yakin anda akan kata tidak kerana kedudukan atau ranking, juara atau tercorot dalam pertumbuhan KDNK/kapita ini tidak memberi makna apa-apa dalam penilaian ekonomi antara negeri.
Lagipun KDNK/kapita bukanlah mengambil pertumbuhan ekonomi negeri sahaja, ia juga mengambil kira pertumbuhan jumlah penduduk (setiap kepala) setiap tahun.
Negeri-negeri yang merekodkan pertumbuhan penduduk dengan pesat akan mengalami pertumbuhan KDNK/kapita yang lebih perlahan disebabkan penduduk yang semakin ramai berbanding pertumbuhan ekonomi.
Contohnya pada 2015 Sabah mencatatkan pertumbuhan KDNK tertinggi di dalam negeri iaitu 6.1% tetapi hanya mencatatkan pertumbuhan KDNK/kapita antara yang terendah iaitu 0.06% kerana pada 2015, Sabah mencatatkan kenaikan jumlah penduduk sejumlah 1.7% berbanding contohnya Pulau Pinang yang mencatatkan pertumbuhan penduduk yang lebih rendah iaitu 0.99%.
Oleh yang demikian faktor utama pertumbuhan KDNK/kapita Pulau Pinang bukan hanya faktor pertumbuhan KDNK semata-mata tetapi faktor pertumbuhan jumlah penduduk yang lebih perlahan di Pulau Pinang.
Anggaran Penduduk Mengikut Negeri: Jabatan Perangkaan Negara
Penanda aras yang sesuai untuk menunjukkan prestasi ekonomi sesebuah negeri adalah membandingkan pertumbuhan KDNK/kapita ekonomi negeri dengan pertumbuhan KDNK/kapita tahun-tahun sebelumnya:
KDNK Per Kapita Pulau Pinang 2005–2015: Jabatan Perangkaan Negara
Sebelum Pakatan menjadi kerajaan di Pulau Pinang, kerajaan di bawah pentadbiran BN mencatatkan pertumbuhan KDNK/kapita 10.4% dan 5.9% pada 2006 dan 2007 masing-masing.
Pertumbuhan KDNK/kapita di bawah pentadbiran Pakatan naik dan turun tetapi semakin menurun sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Ada banyak faktor-faktor yang menyebabkan penurunan pertumbuhan tersebut yang perlu dikupas di dalam tulisan yang lain tetapi prestasi ekonomi negeri lebih baik dibandingkan dengan pertumbuhan ekonomi tahun-tahun sebelumnya dan bukan dibandingkan dengan pertumbuhan ekonomi negeri-negeri lain melalui kedudukan atau ranking yang LGE reka sendiri.
Perbandingan pertumbuhan tahun ini dengan tahun-tahun sebelumnya mempunyai nilai statistik yang digunapakai ahli ekonomi dan tidak seperti perbandingan antara negeri dan kedudukan/ranking yang langsung tidak ada nilaian statistik kepada ahli-ahli ekonomi.
Seterusnya, selain pertumbuhan ekonomi bagi setiap penduduk yang menjadi modal politik LGE dan DAP, beliau juga mendabik dada berkenaan pengurusan kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Seperti biasa yang digembar-gembur kerajaan negeri Selangor iaitu lebihan belanjawan (hasil), rizab negeri dan juga hutang negeri.
Rakyat yang tidak biasa dan tidak faham apa maksudnya lebihan hasil, rizab dan hutang negeri akan mudah berasa kagum dengan angka-angka yang disebut LGE.
Lebih malang lagi LGE hanya menyebut angka-angka ini dalam bentuk mutlak bukan peratusan dan relatif yang lebih tepat untuk mengukur prestasi pengurusan kewangan sesebuah kerajaan.
Angka-angka ini juga disebut oleh LGE tanpa konteks untuk menggambarkan apa yang meningkat, sebab apa meningkat, daripada mana datangnya wang yang menyebabkan rizab meningkat dan sebagainya.
Antara yang disebut dengan bangga oleh LGE:
"Sepanjang lapan tahun sejak kerajaan Pakatan mengambil alih, Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan belanjawan tahunan dengan lebihan terkumpulan sebanyak RM574 juta sepanjang lapan tahun 2008–2015, lebih banyak berbanding BN sepanjang 50 tahun antara 1957–2007 yang setakat RM373 juta. Kita telah berjaya melakukan lebih baik dalam tempoh lapan tahun berbanding apa yang BN lakukan dalam masa 50 tahun."
Apakah maksudnya lebihan belanjawan?
Lebihan belanjawan yang LGE maksudkan adalah wang di dalam Akaun Hasil Disatukan yang tercatat di dalam penyata kewangan kerajaan negeri setiap tahun.
Berikut adalah lebihan hasil kerajaan negeri Pulau Pinang setiap tahun sejak 2001 sehingga 2014 (tahun terakhir telah diaudit): 
Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Pulau Pinang: Penyata Kewangan Negeri
Saya tidak faham mengapa LGE membandingkan jumlah lebihan terkumpul sejak 1957 hingga 2007 dalam bentuk angka mutlak tetapi tidak menyebut pertumbuhan lebihan hasil setiap tahun yang memberi gambaran lebih tepat tentang prestasi kewangan kerajaan negeri.
Di bawah BN, lebihan hasil pernah mencatat pertumbuhan tertinggi iaitu 35.3% pada tahun 2005 dan konsisten mencatat pertumbuhan hasil setiap tahun kecuali pada tahun 2002 yang menurun.
Jika BN tidak menguruskan kewangan kerajaan dengan baik mengapa semasa pentadbiran BN, mereka mencatatkan peratusan pertumbuhan lebihan hasil yang lebih kurang sama dengan pentadbiran di bawah Pakatan?
Bukankah sepatutnya lebihan hasil akan menurun atau berkurang jika kerajaan BN Pulau Pinang dahulu korup, mengamalkan rasuah dan tidak cekap menguruskan kewangan kerajaan negeri?
Selain daripada lebihan hasil, LGE juga menyebut tentang rizab negeri yang selalunya menjadi kebanggaan kerajaan negeri Selangor.
Rizab negeri adalah jumlah wang yang terdapat di dalam Kumpulan Wang Disatukan di dalam penyata kewangan negeri.
Berikut adalah paras rizab kerajaan negeri Pulau Pinang dan pertumbuhan tahunan rizab sejak 2001 hingga 2014:
Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri
Rizab negeri semasa BN mentadbir Pulau Pinang juga meningkat malah pernah mencatat pertumbuhan tertinggi iaitu 35.5% pada tahun 2002 berbanding 21.1% yang dicatat di bawah pentadbiran DAP pada tahun pertama pentadbiran mereka.
Jikalau BN begitu lemah menguruskan kewangan negeri mengapakah rizab negeri meningkat sama seperti di bawah pentadbiran Pakatan?
Malah purata pertumbuhan rizab negeri setiap tahun di bawah BN (2002–2007) lebih tinggi (12.4%) daripada di bawah Pakatan (8.2%).
Adakah ini bermaksud kerajaan BN lebih cemerlang pengurusan kewangannya daripada kerajaan Pakatan?
Rakyat perlu nilai sendiri.
Sesiapa sahaja yang faham statistik pasti tahu kenapa memetik dan menyebut angka dalam bentuk mutlak dan paras (level) dan bukan relatif dan peratus perubahan adalah tidak tepat dan mengelirukan.
LGE tidak lagi boleh menyebut rizab sekian billion, lebihan hasil sekian ratus juta kerana ia tidak membawa apa-apa makna.
LGE sepatutnya menyebut tentang berapa pertumbuhan rizab dari segi peratusan berbanding tahun sebelumnya, komponen apa di dalam rizab negeri yang bertambah, akaun hasil atau akaun amanah?
Ini semua penting supaya konteks kenaikan rizab ini dapat difahami orang ramai.
Tetapi jika LGE menyebut kenaikan dalam peratusan, kenaikan secara relatif pastilah ia tidak memberi apa-apa kelebihan kepada beliau untuk berbangga-bangga dan menghentam kerajaan persekutuan dan BN.
Niat LGE itu kita sudah dapat agak dan faham.
Tidak penting konteks asalkan beliau dapat mengaburi mata rakyat dengan angka-angka ratusan juta dan billion untuk menggambarkan kononnya beliau menguruskan kewangan kerajaan negeri dengan cemerlang.
Seterusnya LGE menyebut tentang hutang negeri yang menurun seolah-olah hutang kerajaan Pulau Pinang menurun kerana kerajaan negeri membayar keseluruhan hutang mereka:
"Lebih signifikan ialah hutang kerajaan negeri telah dikurangkan sehingga 90% dalam jangkamasa yang sama pada jumlah RM69 juta menjelang hujung 2015, yang terendah dalam negara. Hutang RM69 juta ini perlu dibandingkan dengan sejumlah RM16.8 bilion oleh 13 negeri, dengan Pahang yang berhutang hampir RM2.9 bilion, diikuti Sabah sebanyak RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.3 bilion."
Bagaimana kerajaan Pulau Pinang di bawah Pakatan berjaya mengurangkan hutang mereka sebanyak 90%? Adakah kerana mereka membayar hutang kerajaan negeri sekaligus disebabkan pengurusan kewangan mereka yang sangat cemerlang? Tidak.
Hutang kerajaan Pulau Pinang berkurang kerana pada 2011, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah mengambil alih hutang kerajaan negeri di bawah proses migrasi dan pengstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air Negara.
Secara ringkasnya, kerajaan persekutuan telah mengambil alih hutang kerajaan negeri bernilai RM655.25 juta melalui PAAB yang mengambil alih aset air kerajaan negeri.
Pengambil-alihan hutang ini tercatat di dalam penyata kewangan kerajaan negeri 2011:

Hutang Kerajaan Negeri: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2011
LGE tidak berterus terang kepada rakyat tentang bagaimana kerajaan pimpinan beliau berjaya mengurangkan hutang sebanyak 90% kerana beliau tahu pengurangan hutang tersebut tidak ada kena mengena dengan tatakelola pengurusan kewangan yang baik tetapi hanyalah kerana hutang tersebut diambil alih kerajaan persekutuan (di bawah BN).
Negeri-negeri lain yang disebut LGE mempunyai hutang yang tinggi seperti Pahang, Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan adalah kerana aset-aset air di negeri mereka masih di bawah kerajaan negeri.
Sebahagian besar hutang-hutang kerajaan-kerajaan negeri yang disebut LGE adalah kerana hutang projek bekalan air seperti di bawah:
Hutang Awam Kerajaan Negeri Pahang: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang
Hutang Awam Kerajaan Negeri Sabah: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sabah
Hutang Awam Kerajaan Negeri Sarawak: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sarawak
Hutang Awam Kerajaan Negeri Kedah: Penyata Kewnagan Kerajaan Negeri Kedah
Hutang Awam Kerajaan Negeri Kelantan: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan
Hutang-hutang kerajaan negeri Pahang, Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan akan lebih rendah sekiranya mereka membenarkan kerajaan persekutuan melalui PAAB mengambilalih aset dan hutang mereka.
Inilah kepentingan konteks dalam menerangkan fakta kepada rakyat.
Hutang Pulau Pinang turun 90% dan paling rendah dalam Malaysia.
Bagaimana hutang kerajaan negeri Pulau Pinang boleh turun 90% dan menjadi paling rendah dalam Malaysia?
Kenapa LGE hanya menerangkan suatu fakta dan menyorokkan fakta lain yang lebih penting iaitu konteks kepada fakta pertama?
Ini kerana LGE tahu pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang bukanlah kerana pengurusan kewangan kerajaan pimpinan beliau.
Taktik mengaburi mata rakyat dengan tujuan mengelirukan ini hanya berjaya untuk penyokong-penyokong beliau tetapi tidak kepada rakyat yang peka kepada fakta sebenar.
Selepas ini sekiranya LGE masih mengulangi tentang pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang, kita semua perlu ingat ianya adalah kerana pengambilalihan aset dan hutang projek bekalan air oleh kerajaan persekutuan bukan kerana pengurusan kewangan cemerlang LGE dan kerajaan pimpinan beliau.
"Bandingkan prestasi ekonomi Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan yang telah merekodkan belanjawan tahunan berdefisit untuk 18 tahun berturut-turut sejak tahun 1998, dan hutang Kerajaan Persekutuan yang meningkat tiga kali ganda sejak 2007 menjadi RM800 bilion. Jadi beritahu saya — prestasi ekonomi kerajaan manakah yang menyedihkan?"
Sekali lagi LGE memberi angka tanpa konteks untuk mengaburi mata rakyat dengan memetik defisit dan hutang kerajaan persekutuan sebagai modal untuk menyerang BN.
LGE gagal memaklumkan kepada orang ramai bahawa kerajaan persekutuan mengumpul hutang yang tinggi kerana kerajaan persekutuan memperuntuk wang untuk projek-projek pembangunan di seluruh Malaysia.
LGE lupa jambatan kedua Pulau Pinang yang bernilai RM4.5 billion dibina melalui hutang kepada kerajaan China yang menambah bebanan hutang kerajaan persekutuan.
Ini tidak termasuk pelbagai projek pembangunan yang dibiayai kerajaan persekutuan seperti pembinaan sekolah, hospital, lebuhraya dan macam-macam lagi yang dibiaya melalui penerbitan hutang (Sekuriti Kerajaan Malaysia).
Perbandingan hutang kerajaan negeri dengan hutang kerajaan persekutuan adalah perbandingan cetek yang tidak memberi gambaran sebenar tanggungjawab kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. 
"Hasil kejayaan ekonomi Pulau Pinang boleh dilihat dengan hidupnya kembali projek-projek perumahan yang terbengkalai dan pemulihan pusat-pusat pelancongan yang telah mati seperti bangunan Komtar, Bukit Bendera, George Town, Penang International Sports Arena (PISA) dan malah Seberang Perai. Bahkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada bantuan tunai sebanyak RM400 juta yang diagihkan saban tahun seperti pemberian RM100 setiap tahun untuk warga emas, ibu tunggal, surirumah, orang kelainan upaya dan para murid sekolah, serta bayaran one-off RM1000 untuk perbelanjaan kematian, RM200 untuk anak-anak baru lahir dan RM1000 untuk mahasiswa tahun pertama."
Aneh bagaimana LGE berbangga dengan program bantuan tunai kerajaan negeri kepada rakyat Pulau Pinang tetapi beliau tidak pun menyentuh tentang program bantuan tunai BR1M kerajaan persekutuan kepada rakyat Malaysia yang memberi manfaat kepada 7 juta isi rumah dan individu seluruh negara.
Kenapa LGE hanya memuji diri sendiri tetapi tidak memuji inisiatif kerajaan persekutuan mengurangkan bebanan rakyat melalui BR1M?
Bank Negara juga telah mengeluarkan kajian tentang BR1M yang dikatakan bukan sahaja mencapai matlamat kebajikan program tersebut, tetapi BR1M juga membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan swasta (private consumption) aggregat yang lebih tinggi:
Variations in Household Propensity to Consume Across Income Segments: Bank Negara Malaysia
Sudah pastilah LGE tidak akan menyebarkan kajian ini kerana ia tidak boleh dijadikan modal politik untuk menyerang BN.
LGE juga menyentuh tentang bagaimana Jabatan Audit Negara memuji pengurusan kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi beliau tidak menyatakan bahawa kerajaan Pulau Pinang semasa di bawah BN juga mendapat pujian Ketua Audit Negara:
Rumusan dan Syor Audit Kewangan Kerajaan Negeri 2007: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2007
Kenapa LGE menyembunyikan fakta ini?
Kenapa LGE memilih fakta-fakta dan angka-angka tertentu dan meninggalkan fakta dan angka yang lain?
Rakyat Pulau Pinang perlu sedar dan jelas bahawa kerajaan DAP pimpinan LGE sebenarnya tidaklah cemerlang seperti yang digembar-gemburkan.
Pengurusan ekonomi dan kewangan yang dikatakan terbaik, bebas rasuah, sistematik dan sebagainya hanyalah omongan kosong yang dilapik dengan angka dan statistik yang dipilih untuk mengelirukan orang ramai.
Saya tidak ingin menyentuh pelbagai kepincangan dan ketempangan kerajaan negeri di bawah LGE hari ini kerana fokus saya tertumpu untuk menerangkan perkara yang dibangkitkan oleh LGE tentang pengurusan ekonomi dan kewangan kerajaan pimpinan beliau.
Lim Guan Eng tanya antara Pulau Pinang dan kerajaan persekutuan BN, siapa sebenarnya gagal?
Terbukti dengan angka, statistik dan data yang saya lampirkan di atas bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang lah yang sebenarnya gagal.
Mereka gagal membuktikan kerajaan BN sebelum ini tidak cekap menguruskan ekonomi dan kewangan, mereka gagal menerangkan kepada rakyat konteks pertambahan lebihan hasil dan rizab dan penurunan hutang kerajaan negeri, mereka gagal memaklumkan projek pembangunan yang dijalankan kerajaan persekutuan dan mereka gagal untuk berlaku jujur tentang banyak perkara kepada rakyat.
Mereka gagal, segagal-gagalnya.

No comments:

Post a Comment