Sunday 9 October 2016

Kerajaan Zalim Potong Bajet Kesihatan Awam

Pemberhentian Ujian Patologi di HTAR
Pertukaran Jenis Ubat di Hospital Melaka
Macam biasa rakyat Malaysia suka sangat viral kan sesuatu tanpa usul periksa, tanpa bertanya kepada mereka yang lebih arif, tanpa menyemak kesahihan apa yang di’viral’kan.
Terbaru tersebar surat daripada sesetengah hospital tentang beberapa ujian klinikal terpaksa dihentikan kerana kekangan kewangan yang kritikal, ubat terpaksa ditukar sebagai langkah penjimatan dan macam-macam lagi.
Kemudian biasa lah ada yang akan tambah lauk kononnya kerajaan potong bajet kesihatan awam kepada hospital dan klinik kerajaan sebab terlalu banyak rasuah dalam Malaysia, 1MDB, derma dan sebagainya.
Macam biasa juga saya nak bawa anda semua membaca tentang fakta perbelanjaan kesihatan awam oleh kerajaan dan beberapa fakta lain yang akan menerangkan kenapa berlaku “masalah” kewangan di sesetengah hospital seperti yang tertera di dalam surat tersebut.
Betul ke PM Najib potong perbelanjaan kesihatan awam sampai hospital tak cukup duit nak tampung orang awam yang datang nak buat rawatan?
Setiap tahun jabatan-jabatan di bawah kementerian-kementerian akan buat anggaran perbelanjaan untuk tahun tersebut.
Kemudian Kementerian Kewangan akan buat anggaran, masuk dalam bajet negara dan Menteri Kewangan akan bentang di parlimen untuk dibahas dan diluluskan.
Sepanjang tahun akan berlaku semakan prestasi perbelanjaan, sama ada terkurang atau terlebih dan Kementerian Kewangan akan semak balik anggaran dan pinda semula ikut keperluan jabatan di bawah kementerian.
Akhir tahun bila dah tutup tahun kewangan (tutup buku), Jabatan Akauntan Negara (ANM) akan kira balik perbelanjaan sebenar jabatan-jabatan di bawah kementerian kemudian akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Dua objek utama dalam perbelanjaan kerajaan adalah anggaran perbelanjaan dan perbelanjaan sebenar.
Kalau nak baca lebih lanjut tentang prosedur penyediaan bajet baca di sini.
Mengambil inisiatif sendiri saya dah kumpulkan anggaran perbelanjaan dan perbelanjaan sebenar kerajaan untuk Kesihatan Awam, Perubatan dan Perkhidmatan Farmasi bagi setiap tahun dari 2009 hingga 2016.
Sumbernya adalah daripada penyata kewangan kerajaan persekutuan YANG telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Ketua Audit Negara setiap tahun.
Berikut adalah perbelanjaan kerajaan (anggaran dan sebenar) untuk Kesihatan Awam, Perubatan dan Farmasi:

Perbelanjaan Mengurus Kesihatan Awam
Nampak tak setiap tahun perbelanjaan sebenar mesti melebihi anggaran perbelanjaan untuk Kesihatan Awam di bawah Kementerian Kesihatan?
Bagi tahun 2016, hanya tahun depan baru kita dapat tahu perbelanjaan sebenar Kesihatan Awam oleh kerajaan tapi anda rasa adakah ia akan berkurang?
Belum pernah lagi perbelanjaan Kesihatan Awam oleh kerajaan dikurangkan kerajaan di bawah pimpinan PM Najib malah perbelanjaan sebenar bertambah setiap tahun dan lebih tinggi daripada anggaran asal.
Bagaimana pula dengan perbelanjaan Perubatan yang melibatkan pengurusan hospital, perubatan am, pembedahan, pediatrik, ortopedik, oftalmologi, patologi, farmasi, ubat-ubatan dan lain-lain?

Perbelanjaan Mengurus Perubatan
Sama juga seperti perbelanjaan Kesihatan Awam, perbelanjaan Perubatan oleh kerajaan juga mengalami kenaikan setiap tahun dan perbelanjaan sebenar sentiasa melebihi anggaran perbelanjaan asal.
Merujuk balik surat yang diviralkan sesetengah pihak yang cuba untuk menggambarkan bahawa kerajaan dah tak ada duit, dah nak bankrap, dah jahanam sebab banyak sangat rasuah, ketirisan, penyelewengan cuba tengok tarikh surat dan notis pertukaran ubat tersebut.
Untuk surat Jabatan Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) tarikh yang dicatat adalah September 2016 dan notis pertukaran ubat Hospital Melaka berkuatkuasa Oktober 2016.
September dengan Oktober 2016 adalah penghujung tahun jadi sangat normal jika jabatan di bawah hospital tersebut sudah kehabisan bajet tahunan.
Bermaksud anggaran asal bajet untuk hospital tersebut tak cukup dan mereka terpaksa memohon daripada kementerian untuk menambah bajet dan akhirnya apabila diluluskan ia akan dikira menjadi perbelanjaan sebenar.
Kewangan kerajaan bukannya macam kewangan peribadi saudara-saudari sekalian.
Tak cukup duit boleh pinjam keluarga dan kawan, pakai kad kredit itu semua kewangan peribadi atau rumahtangga.
Kewangan kerajaan ada prosedur tertentu yang perlu diikut bukan senang boleh keluar duit macam kita keluar duit daripada poket.
Setiap tahun anggaran perbelanjaan takkan mencukupi, jadi perbelanjaan sebenar akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk menampung kekurangan yang dialami jabatan-jabatan, hospital-hospital tersebut.
Lagipun sudah terang lagi bersuluh dalam surat tersebut ada menyatakan “ujian-ujian terbabit yang akan diberhentikan BUAT SEMENTARA WAKTU.”
Yang kita nampak, “ujian dihentikan”, yang kita buat-buat tak nampak “buat sementara waktu”.
Bila peruntukan tambahan sudah diluluskan, ujian-ujian tersebut boleh lah berjalan seperti biasa bukan selama-lamanya dihentikan.
Kenapa setiap tahun anggaran asal perbelanjaan tak cukup dan perbelanjaan sebenar lebih tinggi daripada anggaran asal? Adakah disebabkan pengurusan kewangan kerajaan yang tak efisien dan telus? Tak betul.
Cuba baca apa Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah cakap baru-baru ni di sini.
“Bilangan pesakit mendapatkan perkhidmatan di kemudahan kesihatan awam mencatatkan peningkatan progresif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata dari Januari hingga Mei tahun ini, terdapat peningkatan lapan peratus bilangan pesakit menggunakan khidmat klinik kesihatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.”
Setiap tahun semakin ramai orang awam melawat hospital dan klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan.
Maka dengan itu perbelanjaan pun akan meningkat setara dengan peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.
Ini KP Kesihatan sendiri yang kata bukan menteri.
Kalau anda semua tak percaya sangat dengan menteri, percayalah penjawat awam macam Datuk Hisham yang tak ada kepentingan politik dan hanya berkhidmat untuk orang awam macam kita.
Saya boleh kepilkan statistik-statistik jumlah yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan, statistik denggi yang meningkat saban tahun tapi saya rasa tak perlulah saya menyuap semua kepada anda.
Kalau boleh luangkan masa dalam Facebook, Twitter, Instagram pasti anda boleh luangkan masa mencari statistik, fakta dan angka di dalam internet.
Tambahan, kalau kerajaan betul-betul tak ada duit, kantung perbendaharaan dah kering dah lama kerajaan tarik subsidi kesihatan awam untuk rakyat tapi kerajaan tetap kekalkan caj-caj rawatan pada kadar paling minima:

Caj Rawatan Di Hospital Kerajaan: Kementerian Kesihatan
Kerajaan zalim, banyak rasuah, banyak ketirisan tetapi perbelanjaan tahunan kesihatan awam dan perubatan tetap meningkat, subsidi kesihatan awam tetap kekal, harga perkhidmatan kesihatan awam dan perubatan kekal rendah.
Jangan mudah percaya dakyah pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan kerajaan kerana mereka ada kepentingan politik tersendiri.
Sebelum tekan share, retweet, repost dan sebagainya, cubalah semak dulu fakta, tanya pada mereka yang berpengetahuan, guna otak dan akal yang Tuhan kurniakan kepada anda.
Jadi rakyat yang menyumbang kepada pembangunan negara bukan rakyat yang hanya tahu merungut dan merencatkan segala pencapaian progresif yang negara kita dah capai.
Rakyat Tidak Bodoh.

No comments:

Post a Comment