Tuesday 11 October 2016

Ekonomi Selangor dan Rizabnomics

Selangor adalah negeri paling maju dalam Malaysia.
Pada tahun 2015, Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia iaitu 22.6% kepada keseluruhan ekonomi Malaysia diikuti dengan Kuala Lumpur (15.1%) dan Sarawak (10%).
Berpusat di tengah-tengah negara, Selangor merupakan pintu masuk dan keluar pengangkutan udara dan air antarabangsa melalui KLIA yang terletak di Sepang dan Pelabuhan Klang yang menjadi pintu utama perdagangan eksport dan import antarabangsa Malaysia.
Selain daripada itu, ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur dan pusat pentadbiran negara Putrajaya juga terletak di dalam Selangor.
Walaupun tidak dilimpahi dengan hasil galian seperti minyak dan gas, Selangor lebih makmur berbanding negeri lain melalui kepesatan industri berasaskan pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.
Sejak pentadbiran Selangor jatuh ke tangan parti pembangkang persekutuan (DAP, PKR, PAS) pada tahun 2008, segala pencapaian kemajuan ekonomi Selangor diambil kredit oleh mereka.
Contohnya seperti berikut:

Sumber: Selangorkini
Apa yang gagal dimaklumkan oleh Pakatan adalah Selangor memang sudah lama menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara malah sebelum Selangor jatuh ke tangan mereka lagi negeri ini telah pun menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara:

Peratus Sumbangan Kepada KDNK Negara
Sejak 2005 (statistik terawal diterbitkan) Selangor sentiasa konsisten menyumbang lebih 20% daripada KDNK negara dan sentiasa menjadi penyumbang tertinggi ekonomi negara.
Kenapa Selangor sentiasa menduduki tempat teratas di dalam kedudukan penyumbang ekonomi negara?
Kerana Selangor adalah negeri pusat yang mana di dalamnya terletak ibu negara dan pusat pentadbiran negara.
KLIA dan Pelabuhan Klang juga antara penyumbang ekonomi Selangor dan kedua-duanya telah lama wujud sebelum Pakatan mengambil-alih Selangor pada 2008.
Selain daripada itu, Selangor juga menerima limpahan kemakmuran ekonomi daripada projek-projek persekutuan seperti lebuhraya, LRT, MRT yang sebahagian besar jajarannya meliputi negeri Selangor.
Adakah projek-projek tersebut dibiayai oleh kerajaan Selangor? Tidak. Ianya dibiayai oleh kerajaan persekutuan.
Tak pernah kita dengar kerajaan Selangor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan pimpinan BN sedangkan berbillion-billion ringgit dibelanjakan melalui pembinaan LRT, MRT, lebuhraya, universiti, sekolah, jalanraya, hospital dan macam-macam lagi.
Pakatan juga sering menggambarkan bahawa pertumbuhan ekonomi Selangor berkembang setiap tahun kerana kebijaksanaan mereka menguruskan ekonomi negeri.

Pertumbuhan KDNK Selangor
Sedangkan sebelum 2008 semasa BN mentadbir kerajaan negeri, Selangor telah pun mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebelum krisis ekonomi global pada 2008.
Tidak ada beza pertumbuhan ekonomi Selangor sebelum dan selepas 2008 jadi untuk mengatakan bahawa Pakatan menguruskan ekonomi negeri dengan baik adalah falasi yang mengelirukan rakyat.
Satu lagi penanda aras yang sering dilaung-laungkan Pakatan di negeri Selangor adalah rizab negeri yang saban tahun meningkat.

Rizab Selangor Lebihi Paras RM4.1 billion: Selangorkini
Yang dimaksudkan rizab oleh Pakatan adalah Kumpulan Wang Disatukan di dalam kewangan negeri.
Pakatan sering mendabik dada kononnya Rizab/Kumpulan Wang Disatukan ini meningkat kerana mereka menguruskan kewangan dan ekonomi dengan cemerlang; mereka berjimat dan tidak membazir, tidak berlaku ketirisan, perbelanjaan terkawal, tiada rasuah dan sebagainya.
Di bawah saya senaraikan Rizab Negeri atau Kumpulan Wang Disatukan Negeri sejak 2003 sehingga 2014 yang diambil daripada Penyata Kewangan Negeri Selangor:

Kumpulan Wang Amanah Disatukan Selangor: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri
Sebelum 2008 semasa kerajaan BN mentadbir Selangor, berlaku juga kenaikan rizab negeri pada 2004, 2006 dan 2007 sama seperti selepas 2008 semasa Pakatan mentadbir Selangor kenaikan rizab berlaku dalam peratusan yang lebih sama sebelum 2008.
Jika berlaku ketirisan, penyelewengan, rasuah yang berleluasa mengapa rizab semasa BN mentadbir Selangor naik sama seperti rizab naik semasa Pakatan mentadbir Selangor?
Seterusnya mari kita semak bagaimana prestasi kutipan hasil kerajaan Selangor sebelum dan selepas Pakatan mentadbir Selangor:

Hasil Kerajaan Selangor: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri
Semasa pentadbiran BN, kutipan hasil meningkat setiap tahun kecuali 2005 sama seperti semasa pentadbiran Pakatan dimana kutipan hasil juga meningkat kecuali pada 2010.
Kutipan hasil ini terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil.
Di dalam rizab ini juga termasuk pemberian kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri untuk penyelenggaraan jalanraya, pemberian hasil mengikut jumlah penduduk dan pelbagai pindahan dan serahan kepada kerajaan negeri.
Jadi tidak benar untuk mengatakan rizab negeri ini naik kerana pengurusan kewangan dan ekonomi kerajaan Pakatan.
Jika perbandingan dilakukan dengan angka mutlak seperti di bawah Pakatan pada 2014 Selangor mengutip RM2.2 billion dan di bawah BN pada 2007 Selangor hanya mengutip RM1.2 billion memanglah nampak kerajaan Pakatan lebih berjaya dari segi kutipan hasil.
Seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara, kutipan hasil sudah pasti akan meningkat setiap tahun.
Ini tidak bermakna pengurusan kewangan dan ekonomi di bawah Pakatan lebih cekap seperti yang digembar-gembur kepada penyokong mereka.

Tanda aras terakhir yang saya nak tunjukkan adalah perbelanjaan kerajaan negeri sejak 2003 sehingga 2014:
Setiap tahun perbelanjaan mengurus kerajaan negeri di bawah BN mencatatkan pertumbuhan sederhana satu digit manakala perbelanjaan mengurus di bawah Pakatan meningkat mencapai dua digit.
Dari segi perbelanjaan pembangunan pula di bawah Pakatan perbelanjaan pembangunan merosot teruk bagi kebanyakan tahun berbanding perbelanjaan pembangunan yang menurun semasa pentadbiran BN.
Tidak ada tanda-tanda menunjukkan bahawa pentadbiran di bawah Pakatan mengamalkan dasar penjimatan atau kawalan perbelanjaan seperti yang sering diwar-warkan.
Benar, perbelanjaan sama juga seperti hasil akan meningkat setiap tahun seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara tetapi sekali lagi tidak ada perbezaan ketara ataupun tanda-tanda bahawa kerajaan Pakatan menguruskan kewangan dan ekonomi Selangor dengan baik.
Setiap tahun pemimpin-pemimpin pembangkang persekutuan akan menggunakan modal rizab Selangor sebagai contoh kononnya mereka menguruskan kewangan negeri secara berhemah sedangkan bukti daripada penyata kewangan negeri menunjukkan tidak ada beza penambahan rizab negeri setiap tahun selepas Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri dengan semasa BN mentadbir negeri Selangor.
Banyak penyokong-penyokong Pakatan kagum dengan jumlah rizab berbillion-billion yang diulang-ulang Menteri Besar Selangor sedangkan tiada apa yang perlu dibanggakan dengan peningkatan rizab tersebut kerana ia bermakna rakyat dicukai dengan lebih banyak berbanding rakyat menerima hasil daripada kutipan cukai oleh kerajaan negeri.
Pertumbuhan ekonomi Selangor juga tidak banyak bezanya sebelum dan selepas 2008 maka dengan itu Pakatan tak wajar menjaja kononnya mereka menguruskan ekonomi dengan baik lebih baik daripada kerajaan BN.
Selangor mendapat tempias dan limpahan daripada pembangunan pesat di dalam dan di sekeliling Kuala Lumpur.
Ramai warga Selangor yang tinggal di Selangor bekerja mencari rezeki di Kuala Lumpur dan itu bukanlah disebabkan jasa atau kecemerlangan pengurusan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan.
Di bawah Pakatan, terdapat banyak juga masalah sampah tidak berkutip, jalan tidak diselenggara, berlubang, longkang tersumbat yang mengakibatkan kadar jangkitan denggi meningkat dan macam macam lagi.
Di manakah rizab RM4 billion yang dibangga-banggakan jika permasalahan tempatan seperti ini tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri?
Apa baiknya rizab menggunung bila masih ada jalan berlubang, sampah tidak berkutip, longkang tersumbat, rumah rakyat dalam keadaan tidak sempurna dan sebagainya?
Mungkin sesetengah penyokong Pakatan percaya bulat-bulat apa yang pemimpin mereka sampaikan, tapi rakyat kebanyakan di bawah sedar kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan hanyalah indah khabar dari rupa.
Sumber: 
  1. Sumbangan dan Pertumbuhan KDNK: Department of Statistics Malaysia
  2. Kumpulan Wang Disatukan, Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan Negeri: Jabatan Audit Negara

No comments:

Post a Comment