Thursday 6 October 2016

Kadar Inflasi Hartanah Pulau Pinang: Jagdeep Deo

Saya terbaca tentang berita dilapor media milik DAP iaitu Roketkini yang mana EXCO Perumahan Pulau Pinang Jagdeep Deo Singh menyatakan bahawa inflasi hartanah (kenaikan harga hartanah) di Pulau Pinang menurun kepada bawah 4% pada suku ke-3 2015 daripada lebih 16% pada suku ke-4 2013.
“Kadar inflasi tahunan hartanah di Pulau Pinang menurun sehingga kurang 4% pada suku ketiga tahun lalu, berbanding kadar paling tinggi 16% pada suku terakhir 2013 ekoran dasar kawalan harga yang dilaksanakan di negeri itu.”
Jagdeep mengatakan yang inflasi hartanah Pulau Pinang jatuh bawah daripada 4% pada suku ke-3 2015:

Indeks Harga Rumah Suku Ketiga 2015: NAPIC
Data awalan (preliminary) bagi suku ke-3 2015 mencatatkan inflasi harga rumah tahunan Pulau Pinang adalah 3.5% iaitu bawah 4% seperti yang Jagdeep nyatakan.
Akan tetapi Jagdeep gagal mengemukakan angka sebenar yang telah dikemaskini oleh Pusat Hartanah Negara (NAPIC) bagi suku ke-4 2015:

Indeks Harga Rumah Suku Keempat 2015: NAPIC
Angka inflasi harga rumah yang telah dikemaskini NAPIC mencatatkan inflasi harga rumah Pulau Pinang bagi suku ke-4 2015 adalah 6.9% iaitu hampir sekali ganda tinggi data awalan yang digunakan Jagdeep.
Jagdeep mendabik dada memberitahu media kononnya inflasi harga rumah Pulau Pinang turun kerana dasar kawalan harga yang dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang sedangkan data akhir menunjukkan inflasi harga rumah mula meningkat berbanding suku ke-2 2015 malah meningkat kepada 7.6% pada suku ke-4 2015.
Adakah dasar kawalan harga rumah oleh kerajaan Pulau Pinang yang diungkap Jagdeep telah gagal?
Kenapa Jagdeep menggunakan angka dan data awalan dengan bangga menyatakan dasar kerajaan negeri berjaya sedangkan inflasi harga rumah pada suku tersebut naik hampir 7% dan terus naik melebihi 7% pada suku seterusnya?
Jagdeep perlu menjelaskan kepada semua rakyat Pulau Pinang supaya tidak ada yang keliru dan rasa tertipu dengan kenyataan beliau melainkan Jagdeep mahu terus membohongi rakyat Pulau Pinang.
Malang bagi rakyat Pulau Pinang yang berharap untuk memiliki rumah jika percaya dengan kata-kata EXCO Perumahan Pulau Pinang yang menyatakan kenaikan harga semakin perlahan sedangkan ia sebaliknya.
HARGA RUMAH NAIK MENDADAK
Selain itu Jagdeep juga menerangkan mengapa berlaku kenaikan harga mendadak rumah di Pulau Pinang diantara tahun 2008 hingga tahun 2015 dimana Jagdeep menyalahkan faktor permintaan, spekulasi hartanah dan kejatuhan matawang Ringgit.
“Jagdeep terlebih dahulu membentangkan permasalahan julat lonjakan harga hartanah di pulau terbabit sehingga dua kali ganda antara tahun 2008 hingga 2015, ekoran faktor-faktor termasuk permintaan, spekulasi hartanah serta kejatuhan matawang.”
Walaupun faktor permintaan dan spekulasi hartanah adalah faktor-faktor yang tak boleh disangkal sebagai penyumbang kenaikan harga rumah terlampau tinggi, tetapi Jagdeep gagal membuktikan kejatuhan Ringgit menjadi punca kenaikan harga mendadak harga rumah di Pulau Pinang.
Antara 2009 hingga 2013 Ringgit meningkat berbanding US Dollar daripada 3.70 kepada hampir 3.00 pada 2011 kemudian secara purata pada antara 3.00 ke 3.30.
Ringgit kemudiannya jatuh selepas penurunan harga minyak pada hujung tahun 2014 dan jatuh sepanjang tahun 2015 sehingga mencapai paras terendah 4.30:

Tukaran Matawang Asing: Bank Negara Malaysia
Indeks Harga Rumah Malaysia: NAPIC
Menurut data daripada NAPIC, sepanjang 2009–2013 inflasi harga rumah Pulau Pinang melonjak tinggi sehingga mencatat inflasi harga rumah 16% sepanjang 2013 sedangkan Ringgit kekal pada purata 3.10–3.30 pada tahun tersebut.
Tetapi inflasi harga rumah Pulau Pinang mula menurun sejak 2014 dan terus menurun sepanjang 2015 walaupun Ringgit jatuh teruk sepanjang 2014-2015.
Sekali lagi nampaknya Jagdeep membohongi rakyat Pulau Pinang dengan menyatakan Ringgit antara punca kenaikan mendadak harga rumah Pulau Pinang dimana bukti mengatakan sebaliknya.
KERAJAAN PERSEKUTUAN GAGAL
Jagdeep sempat menyerang kerajaan persekutuan dengan menuduh bahawa kerajaan persekutuan telah gagal mengekang spekulasi hartanah dan gagal menyediakan rumah mampu milik kononnya kerana Pulau Pinang ditadbir oleh Pakatan Harapan.
“Tambah beliau lagi, langkah-langkah diambil kerajaan persekutuan untuk mengekang spekulasi hartanah serta menyediakan rumah mampu milik tidak memberi banyak kesan kepada Pulau Pinang lantaran negeri itu ditadbir gabungan Pakatan Harapan.”
Jagdeep mulanya mendabik dada kononnya inflasi harga rumah Pulau Pinang menurun disebabkan dasar kawalan harga rumah kerajaan Pulau Pinang dan telah dibuktikan angka inflasi yang dipetik Jagdeep adalah angka awalan yang tidak dikemaskini.
Jagdeep gagal memaklumkan kepada rakyat Pulau Pinang bahawa penurunan kadar inflasi harga rumah juga berlaku di seluruh negara termasuk negeri-negeri lain:

Indeks Harga Rumah Malaysia: NAPIC
Bagi negeri-negeri utama seperti Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang, semuanya mengalami penurunan inflasi harga rumah sejak 2014.
Jadi tidak benar bahawa inflasi harga rumah menurun di Pulau Pinang kerana dasar kawalan harga rumah Pulau Pinang seperti dilaung-laungkan Jagdeep.
Dalam langkah proaktif untuk mengawal kenaikan harga rumah mendadak kerajaan persekutuan mengumumkan langkah-langkah fiskal di dalam Bajet 2013 iaitu menyemak semula Kadar Cukai Keuntungan Hartanah/Real Property Gain Tax (RPGT) daripada 0% hingga 15% untuk mengekang spekulator hartanah yang membeli dan menjual untuk mendapat keuntungan dalam masa yang singkat.

Ucapan Bajet 2013: Kementerian Kewangan

Dan di dalam Bajet 2014 kerajaan sekali lagi menaikkan kadar RPGT kepada 30% dan memperkenal dasar-dasar lain untuk mengekang kenaikan harga rumah melampau di seluruh negara:



Ucapan Bajet 2014: Kementerian Kewangan
Adakah dasar-dasar fiskal di atas tidak dilaksanakan di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan?
Kerajaan persekutuan tidak pernah memberi pengecualian RPGT kepada mana-mana negeri tidak kira negeri di bawah pentadbiran BN sendiri atau negeri di bawah pentadbiran Pakatan.
Jagdeep tidak boleh memperdayakan rakyat Pulau Pinang dengan menuduh kerajaan persekutuan gagal melaksanakan dasar untuk mengurangkan inflasi harga rumah di Pulau Pinang.
Selain dasar fiskal yang diperkenalkan kerajaan persekutuan, Bank Negara Malaysia juga memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan inflasi harga rumah sejak tahun 2013 seperti tempoh pinjaman perumahan maksima sebanyak 35 tahun:

Measures to Further Promote a Sound and Sustainable Household Sector: Bank Negara Malaysia

Adakah Jagdeep cuba menyatakan bahawa bank-bank di Pulau Pinang terkecuali daripada melaksanakan dasar yang diperkenalkan Bank Negara pada tahun 2013?
Sudah terbukti yang dasar-dasar yang dipelopori kerajaan persekutuan berjaya mengurangkan kadar inflasi harga rumah apabila inflasi harga rumah semakin perlahan sejak 2014.
Setiap negeri-negeri utama seperti KL, Selangor, Johor juga mencatatkan penurunan kadar inflasi harga rumah selepas dasar-dasar tersebut dilaksanakan kerajaan.
Tidak benar yang inflasi harga rumah Pulau Pinang menurun disebabkan oleh dasar kawalan harga rumah oleh kerajaan Pulau Pinang kerana negeri-negeri lain juga mengalami penurunan kadar inflasi sejak 2014 dan sepanjang tahun lepas.
Jagdeep bukan sahaja gagal memberi angka sebenar dan tepat tentang inflasi harga rumah di Pulau Pinang malah beliau menuduh kerajaan persekutuan gagal membantu mengurangkan inflasi harga rumah di Pulau Pinang.
Jagdeep harus memohon maaf kepada rakyat Pulau Pinang dan kerajaan persekutuan atas cubaan mengelirukan orang ramai.
Roketkini selaku lidah rasmi DAP patut menyemak angka dan fakta yang tepat sebelum menyiarkan berita untuk tatapan umum itu pun jika mereka berminat untuk menyebarkan maklumat yang sahih kepada rakyat.
Cukup-cukuplah menyalahkan kerajaan persekutuan pimpinan Najib sedangkan kerajaan negeri sendiri mendapat manfaat daripada dasar-dasar persekutuan.
YB Jagdeep Deo Singh.
Rakyat tidak bodoh.

No comments:

Post a Comment