Monday 7 November 2016

Malaysia Bakal Jadi Zimbabwe

Sudah menjadi tabiat rakyat Malaysia menyebarkan message melalui whatsapp berkenaan perkara-perkara yang tidak sahih tentang ekonomi dan kewangan negara.

Terbaru message yang sedang hangat viral di dalam Whatsapp adalah berkenaan kebarangkalian Malaysia akan menjadi seperti Zimbabwe selepas lawatan Perdana Menteri Malaysia ke China yang berjaya memeterai perjanjian-perjanjian perdagangan dan pelaburan yang bernilai berbillion ringgit.



Saya tidak ada pengalaman 20 tahun di Zimbabwe sepertimana pengarang message di atas tetapi saya ada facts and figures berkenaan Zimbabwe yang didapati daripada agensi-agensi kewangan dunia seperti IMF, World Bank dan sebagainya.

Benar China telah lama melabur di Zimbabwe malah Zimbabwe adalah negara di benua Afrika paling banyak menerima pelaburan dari China.

Walaubagaimanapun tuduhan bahawa China menguasai 80% ekonomi Zimbabwe adalah sangat tidak logik kerana setiap tahun, jumlah aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke dalam Zimbabwe berbanding saiz ekonomi Zimbabwe hanyalah kurang daripada 10%.

Di bawah adalah jumlah aliran masuk FDI ke Zimbabwe:

Jumlah Aliran Masuk FDI ke Zimbabwe: Index Mundi
Untuk gambaran yang lebih tepat kita harus membandingkan jumlah aliran masuk FDI ini dengan saiz ekonomi (KDNK) Zimbabwe:

Jumlah Aliran Masuk FDI berbanding KDNK Zimbabwe: Index Mundi

Bagaimana China boleh menguasai 80% ekonomi Zimbabwe sedangkan aliran masuk FDI sepanjang 10% tahun lepas berada di bawah paras 4% berbanding saiz ekonomi Zimbabwe?

Sepatutnya untuk mendapatkan unjuran yang lebih tepat saya harus menggunakan Statistik Kedudukan Pelaburan Asing (International Investment Position - IIP) tetapi malangnya menurut bank pusat Zimbabwe, Reserve Bank of Zimbabwe, data untuk IIP masih dalam proses penyediaan.

Berbanding dengan Malaysia, pelaburan dari China (dan Hong Kong) hanyalah 8.3% (RM45.96 billion) dari jumlah keseluruhan stok pelaburan langsung asing.


Kedudukan FDI di Malaysia Mengikut Negara: Jabatan Perangkaan Negara


Jika dibandingkan pelaburan dari China dengan saiz ekonomi (KDNK) negara yang berjumlah RM1.157 trillion, ianya hanyalah berjumlah kurang 4% daripada saiz ekonomi Malaysia.

Seperti yang saya sebut di dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, ada banyak negara-negara lain yang melabur di Malaysia dan mempunyai pelaburan langsung asing yang lebih besar berkali ganda dari China seperti Singapura yang mempunyai stok FDI di Malaysia berjumlah RM127 billion hampir 10% berbanding saiz ekonomi negara.

Tidak ada pula yang kata Singapura mengawal ekonomi negara melalui penjajahan ekonomi dan sebagainya.

Berbanding Zimbabwe Malaysia berdagang dengan banyak negara di dalam dunia.

US, ASEAN, EU merupakan rakan dagangan dan pelaburan penting Malaysia dan tidak akan diabaikan oleh Malaysia hanya kerana Malaysia menandatangani beberapa perjanjian pelaburan dan perdagangan dengan China.

Sumber pelaburan dan perdagangan Zimbabwe terhad kepada China, Mauritius dan South Africa seperti tertera di dalam laman web Zimbabwe Investment Authority:

FDI in Zimbabwe: Zimbabwe Investment Authority

Manakala sumber pelaburan Malaysia adalah dari banyak negara-negara lain seperti yang tersenarai di dalam jadual Kedudukan FDI di atas.

Tidak logik untuk Malaysia menjadi seperti Zimbabwe kerana saiz ekonomi (KDNK) Malaysia (USD296.22 billion) adalah 20 kali ganda atau 2,000% lebih besar berbanding saiz ekonomi Zimbabwe (USD13.89 billion):

KDNK Malaysia dan Zimbabwe: World Bank

Bagaimana China ingin "menguasai" Malaysia sekiranya China tidak mampu "menguasai" Zimbabwe?

Soal matawang China, Chinese Yuan/Renminbi (CNY) yang dijadikan "matawang rasmi" Zimbabwe betul dari segi fakta tetapi tidak diterangkan kenapa Zimbabwe menjadikan CNY sebagai legal tender yang boleh digunakan untuk transaksi seharian oleh rakyat Zimbabwe.

Selepas kerajaan China menghapuskan hutang Zimbabwe yang berjumlah USD40 juta, Zimbabwe bersetuju menjadikan CNY sebagai matawang sah yang boleh digunakan rakyat Zimbabwe untuk kegunaan seharian.

Walaubagaimanapun Zimbabwean Dollar (ZWD) telah lama dihentikan penggunaannya iaitu pada 2009 selepas krisis hyperinflasi iaitu kadar inflasi yang amat tinggi akibat pengurusan dasar monetari oleh Reserve Bank of Zimbabwe yang lemah di mana mereka mencetak ZWD terlalu banyak.

Nota-nota Wang Zimbabwean Dollar
Akibat daripada cetakan wang ZWD yang tidak terkawal, denominasi ZWD menjadi semakin tinggi dan tidak masuk akal seperti contoh di atas.

Pada suatu peringkat kadar inflasi Zimbabwe mencecah pada kadar 20,000% pada tahun 2006 dan hanya selepas 2009 sahaja kadar inflasi Zimbabwe kembali pada paras normal:

Kadar Inflasi Zimbabwe: World Bank

Akibat daripada inflasi yang tidak terkawal ini kerajaan Zimbabwe membuat keputusan untuk tidak lagi menggunakan ZWD dan hanya menggunakan matawang asing seperti US Dollar (USD) dan South African Rand (ZAR) untuk transaksi seharian.

Penggunaan CNY di Zimbabwe adalah untuk memudahkan urusan perdagangan di antara Zimbabwe dan China dan memudahkan urusan pelanggan di Zimbabwe seperti dilaporkan di dalam akhbar Guardian.

Penulis message ini sendiri menyatakan bahawa ZWD bukan sahaja tidak diterima di negara jiran tetapi juga oleh rakyat Zimbabwe sendiri.

Logiknya jika matawang sendiri sudah tidak laku sehingga mencecah 100 trillion denominasinya kenapa rakyat Zimbabwe mahu menggunakan ZWD?

Bukan salah China yang menyebabkan ZWD tidak laku tetapi kerana salah pengurusan dasar monetari bank pusat iaitu Reserve Bank of Zimbabwe yang mencetak ZWD tanpa kawalan.

Selain daripada itu penulis ini juga berkata Zimbabwe adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai matawang sendiri.

Tidak benar kerana selepas matawang Euro diperkenalkan, negara-negara yang membuat keputusan untuk menyertai Euro tidak lagi menggunakan matawang mereka sendiri.

Germany tidak lagi menggunakan Deutsche Mark, France tidak lagi menggunakan Franc, Italy tidak lagi menggunakan Lira dan sebagainya.

Apabila mereka menyertai Eurozone/Euro Area negara-negara tersebut menyerahkan kedaulatan monetari (monetary sovereignty) mereka kepada bank pusat baru iaitu European Central Bank (ECB) dan bank-bank pusat Germany, France, Italy dan negara Eurozone lain tidak boleh lagi mengawal dasar monetari mereka sendiri seperti mengubah kadar faedah dan mencetak wang.

Hanya ECB dibenarkan mencetak matawang Euro.

Jadi tidak benar hanya Zimbabwe satu-satunya negara yang tidak mempunyai matawang sendiri.

Saya tak pasti apa masalah penulis dengan "kebanjiran" pekerja dari China kerana jika dibandingkan dengan jumlah populasi penduduk Zimbabwe yang seramai 14 juta berbanding pekerja China yang dikatakan lebih kurang 80 hingga 90 ribu yang hanya mewakili kurang daripada 1% populasi penduduk Zimbabwe.

Lagipun Zimbabwe sudah pasti tidak mempunyai tenaga mahir di dalam bidang pembinaan seperti di Malaysia seperti mana penulis sendiri kata 70% daripada rakyat Zimbabwe adalah petani.

Pembinaan ECRL pasti akan melibatkan tenaga kerja mahir dan separa mahir tempatan seperti juretera awam, jurutera mekanikal dan jurutera elektrikal yang terdiri di kalangan orang tempatan.

Soal barangan dari China yang inferior atau tidak berkualiti juga adalah subjektif kerana boleh kata hampir semua barangan elektrik dan elektronik, tekstil dan komponen-komponen perkilangan di dalam dunia datang dari China. 

Produk Apple seperti iPhone juga mempunyai komponen yang diperbuat dari China oleh syarikat Foxconn berpengkalan di Taiwan yang mempunyai beberapa buah kilang pembuatan komponen di China.

Rantaian bekalan produk pembuatan di seluruh dunia pasti akan ada kaitan dengan China dan hampur mustahil untuk mana-mana negara mengelak daripada menggunakan produk-produk dari China tidak kiralah dari segi komponen-komponen untuk barangan belum siap ataupun barangan yang telah siap sepenuhnya.

Nampaknya penulis terlalu lama meluangkan masa di Zimbabwe sehingga beliau sendiri tidak faham keadaan ekonomi dan kewangan di Malaysia.

Daripada Amerika Syarikat ke China, penulis cuba membayangkan Malaysia kini mengabaikan Amerika Syarikat sedangkan Amerika Syarikat masih lagi rakan dagangan dan pelaburan penting Malaysia.

Stok pelaburan FDI Amerika Syarikat di Malaysia adalah berjumlah hampir RM50 billion seperti tertera di gambarajah yang saya lampirkan di atas dan Amerika Syarikat masih lagi antara destinasi eksport terpenting Malaysia dan jumlah eksport Malaysia ke Amerika Syarikat hanya sedikit berbeza dengan jumlah eksport Malaysia ke China:

Eksport Malaysia: MATRADE

Bagaimana penulis boleh mengatakan Najib Razak membawa Malaysia keluar dari mulut buaya (AS) dengan menggunakan kuasa Naga (China)?

Seterusnya penulis menulis dalil-dalil yang Malaysia akan menjejaki Zimbabwe dalam masa yang pantas:
"Apabila banyak cawangan bank ditutup, money changer akan mengikuti dan foreign currencies spt USD akan sukar didapati. Black market yg taboo kpd Bank Negara akan muncul."
Dalil yang tidak logik. Bank-bank di Malaysia tutup kerana apa? Saya telah terangkan mengapa sesetengah bank di Malaysia menutup cawangan-cawangan mereka dua bulan yang lepas di sini.

"budget negara tipu salah satu darinya. Kerap berlaku diZbwe."

Bagaimana bajet negara boleh dikatakan tipu sedangkan setiap tahun Jabatan Akauntan Negara menerbitkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan yang menunjukkan segala hasil dan perbelanjaan kerajaan? 

"tarik subsidi krjaan meyebabkan barang2 dapur jadi bertambah mahal"
Ini kenyataan cetek tidak masuk akal. Penarikan subsidi adalah untuk subsidi pukal yang menguntungkan mereka yang berpendapatan tinggi dan menggalakkan penyeludupan seperti minyak masak, petrol dan diesel. 

Inflasi di Zimbabwe meningkat bukan kerana penarikan subsidi tetapi kerana pencetakan ZWD yang berleluasa tanpa kawalan. 

"Tidak mustahil Felda akan dimiliki syarikat China dgn hanya membeli share FGV dan tak mustahil jika minyak sawit didagangkan dgn Remimbi. Peneroka Felda akan dibayar dgn matawang cina. Kedai 1Msia akan dipenuhi dgn barang2 buatan China yg mutunya substandard dan inferior."

Dalil ini menunjukkan penulis tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam bidang kewangan khususnya pasaran saham dan currency swap. 

Setakat Ogos 2016, 87.63% saham FGV dimiliki oleh dana-dana dan pelabur tempatan. Lebih 50% saham FGV dimiliki badan berkaitan kerajaan seperti FELDA (21.25%), Felda Asset Holdings (12.42%), Lembaga Tabung Haji (7.8%), Koperasi Permodalan Felda (5.80%), KWAP (6.09%) dan kerajaan negeri Pahang (5%). 

Minyak sawit didagangkan di dalam Ringgit Malaysia di Malaysia. 

Apabila China membeli minyak sawit dari Malaysia mereka membayar dalam CNY. 

Tidak timbul isu minyak sawit didagangkan dalam CNY. 

Bank Negara Malaysia dan People's Bank of China juga mempunyai perjanjian tukaran matawang asing untuk iaitu Bilateral Currency Swap Agreement yang akan memudahkan urusan perdagangan eksport dan import di antara Malaysia dengan China apabila menukar matawang Ringgit kepada Yuan dan Yuan kepada Ringgit.

"Pelabur dari barat kurang minat melabur di Msia krna tak yakin akan ditawarkan project krna GLC China telah bertapak dgn kuat dan menguasai penjawat2 awam. Bila kurang pelaburan dari barat, maka akan berlaku kekurangan Foreign Exchange dlm negara yg akan mengakibatkan nilai ringgit turun dan terus turun."
Saya tak tahu sama ada mahu gelak atau menangis membaca kenyataan ini. 

Suka saya mahu ulang bahawa pelaburan negara-negara lain terutamanya dari barat masih tinggi berbanding pelaburan dari China seperti di dalam gambar yang saya lampirkan malah pelaburan asing dari barat masih mengalir masuk ke dalam Malaysia setiap tahun. 

Kekurangan foreign reserves jika pelaburan asing berkurang juga tidak masuk akal kerana foreign reserves juga dikumpul melalui hasil eksport negara. 

Apabila negara mengeksport, negara pengimport akan membayar dalam matawang asing, dan rizab matawang asing negara akan bertambah sekiranya pengeksport membawa balik matawang asing ke dalam negara dan menukarkannya kepada Ringgit. 

Tuduhan rambang bahawa GLC China akan menguasai penjawat awam juga adalah tidak berasas. 

Mengapa penjawat awam yang berkhidmat kepada SPB YDP Agong dan kerajaan mahu dikuasai oleh China? 

Adakah 1.385 juta penjawat awam akan dikuasai China?

"credit rating negara akan menurun yg akan meyebabkan 'access negara to foreign capital' menjadi sukar dan mahal."

Saya rasa penulis sendiri terkeliru dengan tulisan beliau sendiri.

Pada mulanya beliau takut China menguasai Malaysia seperti Zimbabwe melalui kuasa ekonomi.

Kemudiannya beliau risau negara tidak akan mendapat akses kepada modal asing apabila agensi-agensi penarafan menurunkan penarafan untuk bon-bon yang diterbitkan kerajaan Malaysia.

Adakah penulis terlalu obses hendak menghentam kerajaan sehingga terkeliru dengan hujahan beliau sendiri?

Agensi penarafan hanya akan menurunkan penarafan ke atas hutang-hutang yang diterbitkan kerajaan sekiranya kerajaan membiarkan pengurusan kewangan fiskal menjadi tidak terkawal.

Tidak ada kena mengena dengan pelaburan dari China atau barang-barang China yang diimport dan sebagainya.

Semua dalil-dalil di atas adalah tidak berasas dan tidak disokong fakta dan angka yang kukuh.

Semuanya hanya spekulasi penulis sendiri kerana beliau sendiri hidup terlalu lama di Zimbabwe.

Saya sarankan pembaca klik link-link yang disediakan untuk menyemak fakta dan angka yang saya kemukakan.

Malaysia jauh sekali akan menjadi seperti Zimbabwe di atas hujahan yang saya kemukakan.

Message-message yang viral seperti ini adalah salah satu langkah untuk menakut-nakutkan orang ramai oleh pihak-pihak tertentu.

Di awal tulisan beliau penulis sendiri mengakui bahawa beliau menyebarkan tulisan beliau kepada Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh.

Penulis agaknya lupa bahawa Robert Mugabe adalah rakan baik Tun Mahathir dan mereka sering bertukar-tukar hadiah.

Tun Mahathir pasti boleh bertanya sendiri dengan Mugabe tentang keadaan ekonomi di Zimbabwe.

Akhir kata daripada saya, berhati-hatilah sebelum menyebarkan message-message seperti ini.

Tanyalah kepada mereka yang ahli dalam bidang kewangan dan ekonomi sebelum menyebarkan berita-berita tidak berasas seperti ini.

Saya gembira apabila ada 2, 3 orang yang bertanya kepada saya tentang kesahihan viral message tersebut.

Ini menunjukkan masih ada rakyat Malaysia yang percaya tentang kepentingan untuk menyemak fakta-fakta sebelum mempercayai bulat-bulat message yang tersebar di whatsapp.

Baca, baca dan baca. Semak, semak dan semak.

RUJUKAN:

*Klik link yang disediakan.

5 comments:

  1. Bukan ekonomi Malaysia memang telah sediakala di kuasai Cina sejak dari pasca merdeka ke? Bangsa Cina or Negara Cina make no different..root yg sama

    ReplyDelete
  2. melayu yg tak mahu berusaha menguasai ekonomi sendiri. di bantu tapi akhirnya bantuan itu ghaib entah ke mana.

    ReplyDelete
  3. tuan, tq utk website ni....orang seperti anda amat2 diperlukan utk menerangkan semua ini, ...saya bukan billionare yg x kisah pd harga barang naik etc..but saya amat gemar mencari sebab yg rasional bila berlaku sesuatu yg org lain bising blame this n that..pada saya, apa yg tuan penulis blog ni terangkan ia amat berguna, sekurang2nya utk deny apa yg tin kosong cakap.tq again

    ReplyDelete