Tuesday 22 November 2016

BERSIH dan Ekonomi Malaysia

Salah satu tuntutan BERSIH 5 adalah kerajaan yang bersih.

Menurut BERSIH 5, keyakinan awam terhadap kerajaan dan institusi untuk untuk membanteras korupsi telah menjunam.

Tambah mereka lagi, korupsi yang berleluasa telah memberi kesan kepada rakyat Malaysia melalui kenaikan kos sara hidup, GST dan pemotongan belanjawan.

Saya tidak ingin mengulas tentang tuntutan-tuntutan yang lain kerana telah banyak ulasan yang dibuat berkenaan tuntutan-tuntutan seperti pilihanraya bersih, demokrasi berparlimen, hak membantah dan lain-lain.

Fokus saya adalah pada tuntutan "kerajaan bersih" yang melibatkan ekonomi seperti yang dibangkitkan dalam tuntutan BERSIH 5 iaitu kos sara hidup yang meningkat kononnya disebabkan korupsi yang berleluasa.

BERSIH cuba menggambarkan bahawa amalan rasuah yang tidak dibendung kerajaan menyebabkan kos sara hidup rakyat kebanyakan meningkat contohnya, untuk menanggung hutang 1MDB kerajaan terpaksa mengutip lebih banyak cukai dengan memperkenalkan GST.

Kebanyakan isu-isu semasa berkisar kos sara hidup rakyat seperti pemotongan belanjawan, kenaikan harga petrol, kenaikan harga minyak masak, kejatuhan Ringgit semuanya dikaitkan dengan 1MDB walaupun tidak ada kaitan jelas di antara "skandal" 1MDB dengan perkara-perkara tersebut.

Berikut adalah indeks harga pengguna sejak 2010 yang digunakan untuk mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan pengguna di Malaysia yang boleh menggambarkan kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia:

Indeks Harga Pengguna: BNM Monthly Statistical Bulletin

Trend Indeks Harga Pengguna ataupun inflasi di Malaysia adalah sentiasa meningkat atau dengan erti kata lain, harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia sentiasa meningkat sejak dulu lagi sebelum isu 1MDB timbul, sebelum GST diperkenalkan, sebelum subsidi minyak masak dimansuhkan dan sebagainya.

Sebab utama mengapa harga barang dan perkhidmatan sentiasa meningkat adalah kerana permintaan atau penggunaan oleh sektor swasta terutamanya isi rumah seperti kita semua yang sentiasa berkembang setiap tahun.

Pertumbuhan Penggunaan Swasta Malaysia: BNM Monthly Statistical Bulletin

Setiap hari akan ada pengguna yang membeli-belah di pasaraya, restoran akan sentiasa ada pelanggan, tidak putus kenderaan di atas jalanraya dan ini semua adalah antara contoh penggunaan oleh pihak swasta.

Sebelum atau selepas GST diperkenalkan harga barangan dan perkhidmatan sentiasa meningkat mengikut trend yang sama setiap tahun.

Untuk bacaan lebih lanjut mengenai kesan GST ke atas harga mengikut jenis barangan dan perkhidmatan, jemput baca tulisan saya dua bulan lepas.

GST diperkenalkan oleh kerajaan bukanlah bertujuan untuk membayar hutang 1MDB tetapi untuk mempelbagaikan hasil kerajaan supaya kerajaan tidak terlalu bergantung kepada hasil petroleum.

Apabila harga minyak mentah dunia jatuh lebih daripada 50% sejak pertengahan tahun 2014, hasil petroleum kerajaan melalui cukai pendapatan petroleum, dividen Petronas, royalti dan lain-lain juga jatuh.

Hasil Berkaitan Petroleum Kerajaan

Pada tahun 2015, hasil petroleum kerajaan menurun RM20 billion berbanding tahun 2014 hampir 10% daripada keseluruhan hasil kerajaan.

Nisbah Hasil Petroleum Kerajaan Berbanding Jumlah Hasil Kerajaan

Kesan daripada kejatuhan harga minyak sepanjang tahun lepas, nisbah hasil petroleum kerajaan berbanding jumlah hasil kerajaan menurun daripada 34% pada tahun 2010 kepada hanya 19.9% pada tahun lepas.

Penurunan hasil petroleum yang paling ketara adalah hasil cukai pendapatan petroleum (Petroleum Income Tax) iaitu kenaan cukai ke atas operasi huluan (upstream) sebanyak 38% setahun:

Kutipan Tahunan Cukai Pendapatan Petroleum

Kerajaan mengutip RM11.5 billion cukai pendapatan petroleum tahun lepas berbanding RM27 billion yang dikutip pada 2014 iaitu penurunan lebih 60%.

Sebelum GST dilaksanakan, kutipan cukai penggunaan (consumption tax) kerajaan yang terdiri daripada cukai jualan 10% dan cukai perkhidmatan 6% hanyalah sekitar RM12 ke RM17 billion dari 2010 hingga 2014.

Selepas GST diperkenalkan, kutipan cukai penggunaan meningkat mendadak kepada RM35 billion yang terdiri daripada  3 bulan kutipan cukai jualan dan cukai perkhidmatan dan 9 bulan kutipan GST.

Hasil Cukai Penggunaan Berbanding Jumlah Hasil Kerajaan

Sebelum GST dilaksanakan, hasil cukai penggunaan hanya mewakili kurang 10% daripada keseluruhan hasil kerajaan dan selepas GST diperkenalkan, hasil cukai penggunaan mewakili hampir 16% daripada jumlah hasil kerajaan pada tahun 2015.

Kutipan GST dan cukai jualan dan cukai perkhidmatan pada tahun 2015 meningkat RM18 billion kepada RM35 billion iaitu hampir dua kali ganda kutipan cukai jualan dan cukai perkhidmatan pada tahun 2014.

Pertambahan RM18 billion ini menampung penurunan RM20 billion hasil petroleum kerajaan seperti yang diterangkan di atas.

Carta di bawah menunjukkan bagaimana GST menampung penurunan hasil petroleum kerajaan tahun lepas: 

Hasil Petroleum dan Hasil Cukai Penggunaan

Sekiranya GST tidak dilaksanakan pada tahun 2015, kerajaan akan kekurangan hasil sejumlah RM20 billion akibat kejatuhan harga minyak dunia dan ini pastinya akan memberi kesan lebih besar kepada rakyat melalui pemotongan bajet secara besar-besaran.

Tidak timbul isu GST diperkenalkan untuk membiayai hutang 1MDB seperti yang digambarkan BERSIH 5.

Kerajaan hanya pernah menawarkan kemudahan kredit tersedia (standby credit) berjumlah RM950 juta kepada 1MDB dan 1MDB telah pun melangsaikan semula kemudahan yang disediakan kerajaan tersebut. 

Selain daripada itu tidak ada satu sen pun duit kerajaan digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Hutang jangka pendek dan hutang bank 1MDB telah pun diselesaikan selepas 1MDB menjual aset kuasa kepada China General Nuclear hujung tahun lepas.

Jika ada bukti bahawa kerajaan membayar hutang 1MDB menggunakan duit cukai rakyat, saya harap adalah pihak yang akan mengemukakan bukti tersebut.

BERSIH 5 gagal membuktikan bahawa 1MDB atau korupsi yang berleluasa meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Ironinya perhimpunan BERSIH itu sendiri berpotensi memberi kesan negatif kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Kebiasaannya banyak yang akan berkata bahawa peniaga-peniaga di sekitar Kuala Lumpur dan industri pelancongan Malaysia akan terjejas.

Secara statistiknya ia tidak dapat dibuktikan kerana jumlah jualan runcit dan jumlah pelancong yang melawat Malaysia sebenarnya meningkat pada bulan dan suku tahun perhimpunan BERSIH dianjurkan.

Ini adalah kerana perhimpunan BERSIH hanya tertumpu di pusat bandar Kuala Lumpur dan peniaga-peniaga di kawasan selain pusat bandar KL dan seluruh Malaysia tidak terkesan dengan perhimpunan tersebut dan terus menjalankan perniagaan seperti biasa.


Perubahan Tahunan Aktiviti Perdagangan Runcit: BNM Monthly Statistical Bulletin

Pelancong-pelancong luar juga tidak tertumpu di KL sahaja, banyak pelancong bercuti di pulau-pulau, gunung-gunung dan bandar-bandar lain selain daripada KL.

Jumlah Ketibaan Pelancong 2011: MyTourism Data
Jumlah Ketibaan Pelancong 2012: MyTourism Data
Jumlah Ketibaan Pelancong 2015: MyTourism Data

Jadi bagaimana perhimpunan BERSIH memberi kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat?

Pelaburan asing di dalam pasaran kewangan tempatan adalah salah satu penanda aras utama kepada sentimen ekonomi di dalam sesebuah negara.

Pelaburan asing ke dalam Malaysia terdiri daripada dua komponen utama iaitu pelaburan langsung (direct investment) yang merupakan pelaburan jangka panjang yang melibatkan pembelian saham atau hutang lebih 10% dan pelaburan portfolio (portfolio investment) adalah pelaburan jangka pendek di dalam pasaran kewangan seperti saham, hutang (bon), derivatif (kontrak pasaran hadapan) yang melibatkan pembelian jumlah pelaburan kurang 10% daripada jumlah instrumen kewangan tersedia (outstanding shares/bonds).


Aliran Masuk dan Keluar Pelaburan Portfolio: Financial Account, Balance of Payments

Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara melalui laporan Imbangan Pembayaran di dalam akaun kewangan yang merekodkan aliran masuk dan keluar modal dari Malaysia, pada setiap suku tahun perhimpunan BERSIH diadakan, berlakunya aliran keluar pelaburan portfolio:

  1. BERSIH 2.0 - 9 Julai 2011 (Suku Ke-3 2011): Aliran keluar pelaburan portfolio RM22.23 billion
  2. BERSIH 3.0 - 28 April 2012 (Suku Ke-2 2012): Aliran keluar pelaburan portfolio RM1.1 billion
  3. BERSIH 4 - 29-30 Ogos 2015 (Suku Ke-4 2015): Aliran keluar pelaburan portfolio RM25.1 billion

Saya tidak mengatakan bahawa perhimpunan BERSIH adalah punca utama kenapa pelabur portfolio asing menjual pegangan saham dan hutang mereka dan membawa keluar modal dari Malaysia kerana sudah tentu ada faktor-faktor lain juga yang menyebabkan berlaku aliran keluar modal pada suku-suku tahun tersebut.

Kejatuhan harga minyak dunia, ketidaktentuan pasaran kewangan global, dasar-dasar monetari bank pusat (Federal Reserve, ECB, BOJ dll) seluruh dunia juga mempengaruhi sentimen pelabur-pelabur asing di Malaysia.

Tetapi terdapat corak dan trend yang konsisten untuk membuktikan bahawa perhimpunan jalanan seperti BERSIH menjadi salah satu faktor yang menjejaskan sentimen pelabur asing seterusnya menyumbang kepada aliran keluar modal dari Malaysia.

Apabila pelabur menjangkakan akan berlaku ketidakstabilan politik di dalam sesebuah negara, kebiasaannya pelabur portfolio (jangka pendek) akan menjual pegangan saham dan hutang mereka di dalam pasaran kewangan tempatan.

Jualan pegangan saham dan hutang oleh pelabur asing ini menyebabkan aliran keluar modal dari Malaysia ke luar negara yang akan menjadi antara faktor-faktor Ringgit menyusut akibat tekanan aliran keluar modal.

Penyusutan Ringgit secara teorinya akan meningkatkan inflasi apabila harga barangan yang diimport menjadi lebih mahal.

Jadi apabila Ringgit menyusut, BERSIH haruslah cermin diri sendiri dan jangan menyalahkan faktor-faktor lain seperti korupsi, 1MDB, derma dan sebagainya.

Potongan perbelanjaan kerajaan semasa hasil kerajaan menurun adalah perkara biasa.


Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan: Kewangan Kerajaan Persekutuan, EPU

Semasa krisis kewangan asia pada 1998, hasil kerajaan menurun hampir RM10 billion daripada RM65 billion kepada RM56 billion.

Oleh sebab yang demikian kerajaan pada masa itu terpaksa memotong perbelanjaan mengurus sama seperti yang berlaku sekarang.



Pemotongan bajet pendidikan seperti biasiswa ke luar negara, peruntukan-peruntukan universiti juga berlaku pada tahun 1998:

Times Higher Education

Times Higher Education


The Impact of Economic Crisis on Higher Education in Malaysia


The Impact of Economic Crisis on Higher Education in Malaysia

Sudah tentulah tiada siapa menyalahkan pemotongan bajet pendidikan pada masa itu kepada korupsi kerana kita semua tahu had dan batas kebebasan bersuara rakyat pada 20 tahun yang lepas dan juga ketiadaan media sosial untuk menyebarkan/viral berita-berita seperti di atas.

Saya tidak nampak kaitan 1MDB, korupsi, GST dan lain-lain dengan kos sara hidup seperti yang diwar-warkan BERSIH 5.

Saya juga menuntut kerajaan yang bersih serupa seperti tuntutan BERSIH 5 dan saya juga percaya ada kelemahan-kelemahan di pihak kerajaan yang boleh diperbaiki.

Walaubagaimanapun dengan fakta dan angka yang tersedia saya tidak percaya kos sara hidup meningkat akibat korupsi dan kerajaan yang tidak bersih.

Mengaitkan segala permasalahan kewangan peribadi dan ekonomi isi rumah dengan 1MDB ataupun apa-apa korupsi adalah jalan mudah untuk tidak mahu mengubahsuai gaya hidup sendiri yang lebih banyak memberi kesan kepada kos sara hidup masing-masing.

Tidak perlulah saya sentuh bagaimana peserta-peserta BERSIH 5 yang mengakhiri perhimpunan mereka di KLCC memenuhi restoran-restoran mahal sekitar kawasan tersebut.

Ini tidak termasuk acara selfie beramai-ramai menggunakan telefon pintar yang saya yakin tidaklah begitu murah harganya.

Ada banyak orang yang betul-betul susah yang tiada luxury dari segi masa dan kewangan untuk menyertai perhimpunan BERSIH dan menyatakan kesusahan hidup mereka kepada kerajaan.

Menuntut kerajaan bersih dengan menggunakan alasan korupsi, 1MDB menyebabkan pemotongan bajet, pelaksanaan GST, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya adalah alasan tidak kukuh dan tidak berasas sama sekali.

Sekiranya BERSIH tiada idea untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi, janganlah pula membuat cubaan untuk mensabotaj dan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Semangat baca..rupanya baru sedar AK baca blog macai

    ReplyDelete
  3. Enjoy reading your post sir,very factual with actual figures and justifications. What about government income from other industries? Other than O&G
    Not enough to cover the gap due to the fall in crude oil price? Thanks

    ReplyDelete