Tuesday 27 September 2016

Harga Barang Naik & GST

“GST menyebabkan harga barang naik!”, “kerajaan zalim!”, “GST menyusahkan rakyat!” ayat-ayat yang sering kita dengar yang diulang-ulang sesetengah pihak.
Yang peliknya sebelum GST dilaksanakan 1 April 2015, kita dengar orang yang sama juga buat bising pasal harga barang naik.
Kalau GST naikkan harga barang, apa punca yang menaikkan harga sebelum GST diperkenalkan?
Mula-mula jom kita tengok pergerakan harga barang mengikut statistik yang dikumpul Jabatan Perangkaan Negara iaitu Indeks Harga Pengguna (IHP) atau dalam bahasa mudah yang selalu kita dengar adalah inflasi.
IHP atau data inflasi yang dikutip Jabatan Perangkaan ni mengikut piawaianUnited Nation “Classification of Individual Consumption According to Purpose” yang mengira perubahan harga barang untuk sesuatu bakul barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak purata pembelian pengguna di Malaysia.
IHP mengira keseluruhan perubahan harga barang dalam bakul yang ditetapkan dan juga mengira perubahan harga barang mengikut kategori/sub-indeks seperti makanan dan minuman, pakaian dan kasut, kesihatan, pengangkutan, komunikasi, pendidikan, restoran dan hotel dan lain-lain.
Konsepnya mudah, IHP dengan tahun asas 2010 = 100, bermaksud perubahan harga dikira dari tahun 2010.

Kalau IHP pada tahun 2011 mencatatkan kenaikan kepada 105, ini maksudnya harga barang secara purata naik 5% daripada IHP 100 ke 105.

Indeks Harga Pengguna
Sejak 2010 hingga Ogos bulan lepas, harga barang secara purata naik 15% atau IHP naik 15 mata daripada 100 pada 2010 kepada 115 pada 2016.
Yang paling jelas kita dapat nampak, sebelum GST harga barang naik secara konsisten, dan selepas GST harga barang juga naik mengikut corak/pattern yang sama.
Kalau GST menaikkan harga barang bukan ke trend pergerakan IHP sepatutnya lebih tajam ke atas atau naik secara mendadak?
Itu purata keseluruhan harga barang, mungkin tak berapa tepat untuk menggambarkan keadaan sebenar harga barang kan?
Jadi jom kita lihat sub-indeks kepada IHP megikut kategori barangan untuk melihat trend kenaikan harga barang sebelum dan selepas GST dilaksanakan:

IHP: Makanan dan Minuman Bukan Minuman Keras
Harga makanan dan minuman (bukan alkohol) naik secara konsisten sebelum GST dan juga selepas GST dilaksanakan.
Walaupun kita tahu makanan asas macam beras, roti, sayur, ayam, daging, ikan dan lain-lain tak dikenakan GST atau dikenakan GST pada kadar sifar harga makanan tetap naik malah naik secara konsisten sebelum GST dilaksanakan.
Jadi kenapa ada sesetengah ahli politik dan ramai orang suka menyalahkan GST sedangkan sebelum GST lagi harga makanan naik secara konsisten setiap bulan dan tahun? Ada jawapan tak?
Untuk tahu kenapa harga makanan dan minuman sentiasa naik kita kena faham konsep permintaan dan bekalan.
Semua orang makan dan minuman 2–3 kali sehari.
Permintaan harian makanan meningkat setiap tahun, jadi mengikut hukum ekonomi asasnya harga makanan akan naik selagi orang membeli makanan dan minuman.
Selain daripada permintaan dan penggunaan makanan, harga makanan dan minuman juga dipengaruhi musim seperti perayaan, cuaca, bencana alam yang akan memberi kesan kepada bekalan makanan dan minuman.
Contohnya musim raya puasa, kita selalu dengar harga ayam akan naik sebab tak cukup bekalan dalam pasaran.
Bila berlaku banjir besar, tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands, bekalan sayur dari sana terputus jadi harga sayur seluruh negara pun naik.
Bila musim tengkujuh nelayan tak dapat ke laut untuk tangkap ikan, harga ikan di pasaran pun naik melambung-lambung.
Maka dengan sebab itu patut tak kita salahkan GST dan kerajaan bila harga barang terutamanya harga makanan naik?

IHP: Pakaian dan Kasut
Harga pakaian dan kasut turun dengan konsisten sebelum GST, kemudian naik sedikit sebelum GST dilaksanakan kemudian turun semula ke paras sebelum GST dilaksanakan.
Ini bukti harga naik disebabkan GST kan?
Tapi kenapa harga naik 3 ke 4 bulan sebelum GST dilaksanakan tapi turun semula lepas GST berkuatkuasa?
Ada dua kemungkinan iaitu pertama, 3 ke 4 bulan sebelum GST berkuatkuasa, pengguna membeli-belah dengan kadar yang lebih banyak untuk “berjimat” daripada dikenakan GST dan kedua peniaga-peniaga pakaian dan kasut menaikkan harga sebelum GST berkuatkuasa.
Harga barangan tahan lama macam pakaian dan kasut ikut dalam jangkamasa panjang akan turun berbeza dengan harga makanan dan minuman yang dikategorikan sebagai barangan penggunaan yang diguna setiap hari.

IHP: Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api
Inflasi bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api juga meningkat pada kadar konsisten setiap bulan dan tahun sebelum dan juga selepas GST.
Sama seperti makanan dan minuman, di rumah kita masing-masing, kita menggunakan elektrik, air dan gas setiap hari.
GST tidak dikenakan ke atas bekalan air di rumah, penggunaan elektrik 300kWh yang pertama dan tong gas dibawah 24kg jadi secara logiknya GST tidak memberi kesan kepada barangan tersebut.
Tetapi harga barangan tersebut tetap naik disebabkan permintaan berterusan daripada pengguna-pengguna di rumah macam kita semua.

IHP: Kesihatan
Sebelum GST, inflasi bagi kesihatan seperti caj rawatan di hospital, harga ubat-ubatan, harga konsultasi di klinik meningkat secara konsisten dan kemudiannnya naik mendadak semasa GST dikuatkuasakan sebelum kembali pada kadar kenaikan konsisten sama seperti sebelum GST berkuatkuasa.
Perlu diingatkan bahawa kenaikan harga untuk kesihatan ini kebanyakannya melibatkan kenaikan harga perkhidmatan kesihatan dalam sektor swasta.
Di hospital dan klinik kerajaan, caj-caj untuk rawatan luar, dalam, ubat-ubatan tidak berubah sejak dulu lagi malah sangat berpatutan jika dibandingkan dengan caj perkhidmatan kesihatan sektor swasta:

Kementerian Kesihatan: Caj Rawatan
Pilihan di tangan pengguna.
Kerajaan tidak memaksa sesiapa untuk mendapatkan khidmat rawatan di hospital dan klinik swasta.
Kerajaan menyediakan subsidi billion ringgit setiap tahun untuk menampung kos rawatan pesakit yang menggunakan khidmat di hospital-hospital kerajaan.

IHP: Pengangkutan
Inflasi bagi pengangkutan turun naik dan tidak stabil seperti inflasi barangan dan perkhidmatan lain.
Ini kerana harga minyak runcit di stesen minyak sebelum GST dilaksanakan ditetapkan oleh kerajaan yang mana kemudiannya kerajaan menaikkan harga minyak runcit dengan mengurangkan subsidi secara berperingkat pada tahun 2010 (naik 10 sen), kemudiannya kekal sepanjang 2011 dan 2012 dan naik pada 2013 (naik 20 sen) dan 2014 (naik 20 sen).
Pada penghujung 2014, harga minyak dunia turun, kerajaan menurunkan harga runcit petrol di stesen minyak dan kemudiannya pada 2015, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan memperkenalkan sistem harga apungan terkawal di mana harga minyak runcit akan mengikut harga purata bulan sebelumnya.
Harga runcit petrol dan diesel sejak tahun lepas berubah setiap bulan jadi inflasi atau IHP: Pengangkutan juga naik turun mengikut harga runcit petrol yang diumumkan kerajaan setiap hujung bulan.

GST tidak dikenakan ke atas RON95 dan Diesel, maka ianya tidak terkesan dengan pelaksanaan GST.

IHP: Komunikasi
Inflasi untuk komunikasi seperti bil telefon, harga tambah nilai/top-up untuk pengguna prepaid, turun dengan konsisten sebelum GST kemudiannya naik mendadak semasa GST berkuatkuasa dan kekal naik sepanjang 2015 selepas GST berkuatkuasa dan turun mendadak pada awal tahun ini.
Sebelum GST dilaksanakan, harga komunikasi turun kerana persaingan harga antara syarikat telekomunikasi yang menawarkan harga yang rendah berbanding pesaing untuk menarik pelanggan.
Cuba ingat semula, 5–10 tahun yang lepas, harga data internet, harga panggilan malah harga SMS agak tinggi dan sekarang harga data semakin murah, panggilan dan SMS pun ada yang percuma.
Sebab itulah harga komunikasi menurun setiap tahun sebelum GST berkuatkuasa.
Selepas GST diumumkan, syarikat telekomunikasi tidak lagi mahu menyerap 6% cukai perkhidmatan yang sebelum ini tak dikenakan ke atas pengguna prepaid.
Oleh sebab itu, inflasi komunikasi meningkat dengan tajam semasa dan selepas GST berkuatkuasa.
Hanya selepas kerajaan campurtangan dengan memberikan rebat kepada pengguna prepaid dan tidak mengenakan GST pada penghujung 2015 inflasi perkhidmatan komunikasi menurun dan stabil sepanjang tahun ini.
Salah GST atau salah syarikat telekomunikasi yang tiba-tiba membuat keputusan untuk tidak menyerap 6% cukai perkhidmatan yang dikenakan?

IHP: Pendidikan
Inflasi perkhidmatan pendidikan meningkat pada kadar yang sama sebelum dan selepas GST berkuatkuasa.
Ia melibatkan kenaikan harga yuran di universiti dan kolej swasta, sekolah-sekolah swasta, pusat tuisyen, tadika dan lain-lain.
Jika GST yang menyebabkan kenaikan yuran di institusi pendidikan tersebut, kenapa sebelum GST kenaikan harganya sama seperti selepas GST dilaksanakan?
Masih ada universiti, politeknik, kolej kemahiran di bawah kerajaan yang menawarkan pendidikan berkualiti dengan harga yuran yang berpatutan dan tidak naik setiap tahun.

Sekali lagi, pilihan pengguna menentukan sama ada pengguna terkesan atau tidak dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

IHP: Restoran dan Hotel
Inflasi Restoran dan Hotel mencatatkan trend yang sama iaitu ianya tetap naik sebelum dan selepas GST berkuatkuasa.
Restoran dan Hotel diwajibkan mengutip cukai perkhidmatan 6% sebelum GST dilaksanakan.
Selepas 1 April 2015, restoran dan hotel mengutip GST 6% menggantikan cukai perkhidmatan 6%.
Jadi tak ada sebab untuk harga makanan dan perkhidmatan di restoran dan hotel meningkat kerana GST.
Jika anda mampu untuk makan di restoran dan tinggal di hotel, maka anda juga mampu untuk membayar 6% GST.
Selepas 16 bulan GST dilaksanakan, mengikut statistik, harga barang secara purata naik pada kadar yang sama sebelum GST berkuatkuasa.
Banyak yang menyalahkan kerajaan sebab melaksanakan GST, sedangkan sebelum GST harga barang sudah pun naik setiap tahun.
Walaubagaimanapun kenaikan harga barang dan perkhidmatan sebelum GST juga adalah disebabkan oleh pilihan pengguna, permintaan tinggi pengguna dan juga penawaran daripada peniaga bukan semata-mata salah kerajaan.
Banyak inisiatif kerajaan perkenalkan untuk kawal kenaikan harga barang contohnya Kedai Rakyat 1Malaysia, pengenaan GST pada kadar sifar untuk barangan asas dan sebagainya tapi kerajaan tak dapat mengawal faktor-faktor pasaran yang mempunyai pengaruh besar dalam penentuan dan pergerakan harga barang.
Pembangkang contohnya cakap nak kawal harga barang dengan turunkan harga minyak, mansuhkan GST, kawal harga tapi bukti menunjukkan bahawa selepas harga minyak turun hanya harga pengangkutan turun tapi harga barangan lain seperti makanan tetap naik.
Kerajaan boleh mengawal harga tetapi akhirnya permintaan pengguna dan penawaran peniaga yang akan menentukan harga sebenar barangan dan perkhidmatan dalam pasaran.
Kalau ada orang cakap harga barang naik sebab GST, cuba tanya mereka kenapa harga barang naik sebelum ada GST?
Rujukan:
1. Indeks Harga Pengguna - Bank Negara
2. Caj Rawatan Kesihatan Kerajaan - Kementerian Kesihatan

No comments:

Post a Comment