Monday 6 November 2017

NGA KOR MING PECAH REKOD AHLI PARLIMEN PALING TIDAK BIJAK

Dua tiga hari kebelakangan galak penyokong pembangkang share video tentang bajet. Bila lagi nak acah-acah faham ekonomi dan kewangan kalau tak musim bajet. Tapi tak ada beza dengan penyokong pembangkang yang buta ekonomi, pemimpin mereka juga sama.



Video perbahasan ahli parlimen DAP Nga Kor Ming yang viral baru-baru ini kononnya Bajet 2018 yang baru dibentangkan minggu lepas mencatatkan 5 rekod baru sekaligus iaitu:

1.  Belanja paling banyak duit rakyat – RM282.25 billion
2.  Mencatat hutang paling tinggi di sejarah negara – RM685 billion
3.  Kos bayar hutang paling tinggi di sejarah Malaysia – RM31 billion / tahun depan rakyat Malaysia akan bayar kos hutang RM31 billion – seorang rakyat RM1,000
4.  Defisit kali ke-21 tahun berturut-turut
5.  Belanja pembangunan paling sedikit – RM10 hanya RM1.60 dibelanjakan untuk pembangunan

Nak habiskan video yang panjangnya hanya 1 minit 43 saat ini sangat menyiksakan jiwa, raga, batin dan intelek saya. Bukan sahaja sebab kecetekan ilmu kewangan dan ekonominya tetapi juga sebab Bahasa Melayunya yang menyakitkan telinga.

Tak apa, bagi saya jawab satu persatu:-

1. Bajet 2018 belanja paling banyak duit rakyat sejumlah RM282.25 billion. 

“Rekod” pertama ini sahaja melambangkan kecetekan ilmu Nga Kor Ming. Setiap tahun ekonomi berkembang, maka sudah tentulah setiap tahun bajet kerajaan akan meningkat.

Setiap tahun komitmen kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam, membayar pencen pesara kerajaan, membelanjakan untuk subsidi dan juga pembangunan meningkat. Kecuali pada tahun-tahun ekonomi negara mengalami kemerosotan dan juga hasil kerajaan menurun seperti pada tahun 2009 akibat kesan krisis ekonomi dunia dan juga pada tahun 2015 dan 2016 apabila hasil kerajaan menurun disebabkan kejatuhan harga minyak dunia.

Kenapa Nga Kor Ming tak bising di parlimen apabila perbelanjaan kerajaan persekutuan jatuh daripada RM259 billion (2014) kepada RM257 billion (2015) dan RM252 billion (2016)?



Tahun depan ekonomi dijangka terus berkembang, harga minyak dunia juga dijangka semakin pulih maka hasil kerajaan akan meningkat dan bajet kerajaan juga meningkat.

Potong bajet salah, tambah bajet salah. Apa Nga Kor Ming mahu sebenarnya?

2. Bajet ini mencatat hutang paling tinggi dalam sejarah negara sejumlah RM685 billion

Sekali lagi kedangkalan Nga Kor Ming terserlah apabila menyebut angka hutang kerajaan dalam bentuk angka mutlak. Untuk mendapatkan gambaran yang sebenar kemampuan kerajaan berhutang adalah melihat hutang tersebut relatif kepada saiz ekonomi atau pendapatan negara iaitu KDNK   atau GDP.

Nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK pada tahun 2016 adalah 52.5%, dan yang terbaru (suku ke-2 2017) adalah 52.3%.



Pada tahun 1986 dan 1987 nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK ialah 103% dan 101% masing-masing. Ini bermakna jumlah hutang kerajaan persekutuan pada tahun tersebut lebih besar daripada jumlah pendapatan negara. Jika Malaysia atau kerajaan persekutuan tidak bankrap pada tahun 1986 dan 1987, kenapa pula Malaysia nak bankrap sekarang ketika nisbah hutang kerajaan persekutuan hanya 52% berbanding KDNK negara?


3. Kos bayar hutang paling tinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM31 billion atau RM1 ribu seorang.

Tak pernah ada mana mana badan ekonomi dan kewangan dunia mengira kemampuan membayar semula hutang kerajaan dengan mengira mengikut hutang per kapita (setiap rakyat). Hanya pembangkang yang buta ekonomi macam Nga Kor Ming mengira hutang kerajaan mengikut per kapita.

Kos membayar hutang kerajaan perlu dikira dengan berapa hasil yang dikutip pada tahun tersebut atau ringkasnya jumlah kos membayar faedah hutang kerajaan persekutuan dibahagikan dengan hasil kerajaan yang dikutip.



Pada tahun 2016 nisbah kos bayaran hutang kepada hasil kerajaan persekutuan adalah 12% bermakna 12% daripada hasil kerajaan yang dikutip daripada cukai dan bukan cukai digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan.

Manakala nisbah tertinggi pernah dicatatkan adalah pada tahun 1987 di mana 31% hasil kerajaan digunakan untuk membayar kos hutang kerajaan. Zaman bila guna lebih banyak duit rakyat untuk menanggung kos hutang? 1987 atau 2016?


4. Defisit kali ke-21 tahun berturut-turut.

Sejak merdeka lagi kerajaan mencatatkan defisit iaitu perbelanjaan melebihi daripada hasil kecuali pada tahun 1993 sehingga tahun 1996 di mana ekonomi berkembang dengan begitu pesat sehinggakan kerajaan tidak perlu berbelanja dengan lebih banyak untuk merancakkan ekonomi.



Selepas krisis kewangan Asia tahun 1997-1998 kerajaan terus mencatatkan defisit sehingga sekarang.

Defisit ini ditampung oleh hutang yang diterbitkan oleh kerajaan persekutuan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Seperti yang saya sudah banyak kali cakap, hutang kerajaan adalah hanya untuk perbelanjaan pembangunan dan tidak ada langsung digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti membayar gaji dan pencen kakitangan awam.

Malah nisbah defisit kepada KDNK berjaya dikurang daripada 6.7% (2009) kepada 3.2% (2016) dan dijangka terus turun kepada 2.8% tahun depan.

Ini berbeza dengan nisbah defisit pada tahun 1980an yang mencecah dua angka setinggi 17%.

Kenapa pula hendak takut dengan defisit 21 tahun berturut-turut sedangkan nisbah tersebut semakin menurun dan tidak setinggi 15 hingga 17% seperti 30 tahun yang lalu?

5. Belanja pembangunan paling sedikit 16% berbanding perbelanjaan mengurus 84%.

Isu ini saya sudah jawab di dalam post saya seperti yang dibangkitkan Dr Muhammed Abdul Khalid baru-baru ini. Pada tahun 1988, nisbah perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan juga 84:16.


Untuk bacaan lanjut berkenaan perbelanjaan mengurus vs perbelanjaan pembangunan boleh baca di: http://syahir521.blogspot.my/2017/11/dr-muhammed-khalid-kewangan-negara.html

Seronok jadi pembangkang, apa yang mereka cakap, apa yang mereka bahas tak pernah disemak dengan fakta dan angka. Menipu dan mengelirukan orang dalam parlimen pun tak ada siapa yang peduli. Apatah lagi daripada penyokong mereka sendiri.

Saya sarankan Nga Kor Ming belajar ekonomi dan kewangan atau sekurang-kurangnya upahlah researcher yang ada asas dalam ekonomi dan kewangan. Kalau tak teruskanlah menjadi ahli parlimen yang sesat lagi menyesatkan.

Rujukan:


No comments:

Post a Comment