Dr Muhammed Abdul Khalid: "Kewangan kerajaan tidak memberangsangkan."
Pembangkang: "Kerajaan banyak hutang, Malaysia nak bankrap."
Saya lihat banyak
penyokong pembangkang tak cukup jari share video Sesi Soal Jawab TV3 yang
membincangkan berkenaan Bajet 2018 minggu lepas yang juga menampilkan Dr
Muhammed Abdul Khalid (Dr M) seorang pakar ekonomi yang juga penulis buku
terkenal Colours of Inequality, sebuah buku tentang jurang atau
ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan di Malaysia. (*Siapa belum baca saya
sarankan baca sekarang)
Banyak juga yang tag saya
minta saya ulas berkenaan apa yang dikatakan oleh Dr M iaitu apa yang disebut
oleh beliau sebagai kewangan negara yang tidak memberangsangkan.
Empat sebab utama Dr M
dalam hujahan beliau bahawa kewangan negara tidak memberangsangkan adalah:
1. Daripada
RM212 billion dikutip kerajaan, RM210 billion atau 99% daripadanya digunakan
untuk membiayai perbelanjaan mengurus (operating expenditure/OPEX) seperti
membayar gaji kakitangan awam, membayar faedah hutang kerajaan dan banyak lagi
komponen perbelanjaan mengurus yang lain (*yang saya akan sentuh kemudian).
Hampir kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan seperti membina sekolah,
jalan, hospital, pengangkutan awam dibiayai menggunakan pinjaman atau hutang.
2. Untuk
menjana ekonomi perbelanjaan pembangunan penting. Peratusan yang diperuntukkan
untuk perbelanjaan pembangunan daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan
hanyalah 17%, manakalah selebihnya 83% adalah perbelanjaan mengurus. Sejak
2008, peratusan perbelanjaan pembangunan semakin menurun berbanding
perbelanjaan mengurus yang meningkat.
3. Hutang
kerajaan semakin bertambah. Perbelanjaan untuk membayar hutang kerajaan (RM24
billion) lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan dalam sektor
pengangkutan (RM10 billion), pendidikan (RM6 billion) dan kesihatan (RM1.5
billion).
4. Faedah
hutang kerajaan yang dibayar berbanding perbelanjaan mengurus kerajaan semakin
meningkat.
Persoalan utamanya adakah
kewangan negara atau lebih tepat kewangan kerajaan tidak memberangsangkan? Saya
setuju. Kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun
ini terutamanya sejak harga minyak dunia jatuh mendadak menjelang pertengahan
tahun 2014.
Ini menyebabkan hasil
kerajaan persekutuan jatuh dua tahun berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016
daripada RM220 billion (2014) kepada RM219 billion (2015) dan RM212 billion
(2016).
Hasil kutipan GST
berjumlah RM27 billion (2015) dan RM41 billion (2016) hanya mampu menampung
sebahagian daripada kejatuhan hasil petroleum pada tahun-tahun kebelakangan
ini.
Oleh sebab yang demikian,
kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan dari segi kutipan hasil KERANA
kejatuhan harga minyak dunia yang merupakan antara penyumbang utama hasil
kerajaan.
Betul hampir 99% hasil
kerajaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti diujar Dr M. Komponen
perbelanjaan mengurus termasuklah emolument (gaji kakitangan awam), pencen dan
ganjaran (pencen pesara perkhidmatan awam), bayaran khidmat hutang (bayaran
faedah hutang kerajaan), bekalan dan perkhidmatan, subsidi, pembelian harta,
geran dan pindahan serta perbelanjaan lain.
Tetapi saya tak nampak di
mana masalahnya apabila banyak atau semua hasil yang dikutip kerajaan digunakan
untuk perbelanjaan mengurus kerana pada tahun 1986 dan 1987 hasil kerajaan
tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan. Ini
bermakna kerajaan terpaksa meminjam untuk menampung perbelanjaan mengurus
seperti gaji kakitangan kerajaan, pencen pesara, membayar hutang dan
sebagainya.
Sejak Najib menjadi
Perdana Menteri tidak pernah sekalipun hasil kerajaan kurang daripada
perbelanjaan mengurus. Apa yang saya pasti jika GST tidak dilaksanakan,
perbelanjaan mengurus akan lebih tinggi daripada hasil kerajaan dan kerajaan
akan terpaksa meminjam untuk membayar gaji kakitangan awam, pencen, subsidi dan
sebagainya.
Memang benar hampir
kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan dibiayai melalui pinjaman atau
hutang. Sekali lagi saya tak nampak apa masalahnya membelanjakan untuk
pembangunan dengan menggunakan hutang. Isi rumah membeli-belah barangan dapur
menggunakan gaji, tetapi membeli rumah menggunakan hutang. Perniagaan membayar
kos operasi seperti gaji menggunakan pendapatan perniagaan, mereka
mengembangkan perniagaan menggunakan pinjaman bank. Sama juga seperti kerajaan.
Perbelanjaan pembangunan
adalah pelaburan yang akan menjana pendapatan dan memberi pulangan ekonomi.
Apabila kerajaan membina sekolah, jalanraya, hospital, pengangkutan awam
termasuk LRT, MRT, ECRL dan lain-lain ianya akan mencipta peluang pekerjaan dan menambah pendapatan pihak swasta. Semakin
tinggi pendapatan pihak swasta termasuk individu dan perniagaan, semakin tinggi
pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai di masa hadapan.
Setiap tahun sejak
Malaysia merdeka kerajaan sememangnya meminjam wang daripada dalam dan luar
negeri untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Tidak pernah pula kerajaan Malaysia
bankrap ataupun tidak mampu membayar hutang sendiri.
Isu perbelanjaan mengurus
lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan juga adalah isu yang remeh. Apa
yang Dr M cakap itu betul. 84% perbelanjaan kerajaan untuk mengurus dan 16%
untuk pembangunan. Tapi pada tahun 1988, nisbah perbelanjaan kerajaan juga pada
84:16 sama seperti tahun 2016.
Juga harus anda semua tahu
kebanyakan perbelanjaan pembangunan kerajaan di buat di luar bajet melalui
syarikat-syarikat milik penuh kerajaan seperti MRT dibina oleh MRT Corp dan Pan
Borneo dibina oleh syarikat Pan Borneo yang dibiayai melalui pinjaman oleh
Danainfra, LRT3 dibina oleh Prasarana dan dibiayai melalui pinjaman oleh
Prasarana dan banyak sekolah, hospital, universiti dibina dan dibiayai oleh public-private
partnership (PPP). Sama juga bagaimana KLIA dibina dan dibiayai oleh KLIA
Berhad, Putrajaya dibina oleh Putrajaya Holdings menggunakan duit Petronas dan
pinjaman, lebuhraya Utara Selatan yang dibina oleh Renong dan akhirnya dibiayai
melalui hutang yang dimiliki kerajaan melalui UEM dan KWSP.
Jika perbelanjaan
pembangunan di luar bajet kerajaan ini diambil kira, perbelajaan pembangunan
sektor awam/kerajaan mencecah hampir RM143 billion pada tahun 2016, berbanding
hanya RM40.6 billion yang diperuntukkan di dalam bajet. Nisbah perbelanjaan pembangunan juga akan
meningkat daripada 16% kepada 35% daripada keseluruhan perbelanjaan sektor
awam.
Pembangunan negara juga
sebenarnya dipelopori oleh sektor swasta dan bukannya sektor kerajaan. Pada
tahun 2016 sektor swasta membelanjakan RM212 billion untuk perbelanjaan
modal/pembangunan berbanding sektor awam yang membelanjakan RM105 billion.
Setiap tahun hutang
kerajaan bertambah dari segi mutlak. Setakat Jun 2017, hutang kerajaan
persekutuan berjumlah RM685 billion. Oleh sebab itu jumlah bayaran balik hutang
(faedah) juga meningkat setiap tahun. Sepatutnya nisbah yang perlu kita lihat
adalah jumlah perbelanjaan membayar hutang kerajaan kepada hasil kerajaan.
Tahun lepas (2016) 16% daripada hasil kerajaan digunakan untuk membayar hutang,
sepanjang tahun 1981 sehingga 1993 nisbah tersebut melebihi 12% dan pernah
mencecah 31% pada 1987. Bayangkan, 31% hasil kutipan cukai digunakan untuk
membayar faedah hutang kerajaan. Sekarang hanya 12%, tiba-tiba negara nak
bankrap?
Perbelanjaan hutang
kerajaan lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan seperti pengangkutan,
pendidikan dan kesihatan – betul. Tetapi bukankah lebih baik dibandingkan
dengan keseluruhan perbelanjaan? Pembangunan tidak terhad kepada pengangkutan,
pendidikan dan kesihatan sahaja. Keselamatan, pertahanan, sosial, perumahan,
pertanian, luar bandar juga penting.
Kerajaan membelanjakan RM41 billion untuk perbelanjaan pembangunan (tidak termasuk perbelanjaan luar bajet) dan membelanjakan RM26 billion untuk bayaran faedah hutang. Perbelanjaan pembangunan kerajaan masih lebih tinggi daripada perbelanjaan membayar faedah hutang. Malah bayaran semula hutang kerajaan juga adalah untuk pembangunan kerana semua pinjaman yang dibuat kerajaan (kecuali pada tahun 1986 dan 1987) dibuat untuk membangunkan negara.
Jadi berdasarkan ulasan
saya di atas berserta sumber-sumber yang saya perolehi daripada Bank Negara dan
Perbendaharaan Negara saya simpulkan kewangan kerajaan tidaklah begitu kritikal
seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.
Saya kenal Dr Muhammed
Khalid secara peribadi dan pernah beberapa kali berjumpa dengan beliau dalam
suasana formal dan tidak formal. Mengenali beliau, saya faham beliau membuat
ulasan berdasarkan data dan angka yang tersedia di luar sana. Beliau adalah
seorang yang objektif dan tidak berat sebelah dalam membuat penilaian mahupun
ulasan.
Saya juga tidak bersetuju
dengan beliau tentang beberapa isu tetapi apabila apabila berhujah kami
menggunakan data dan angka. Sehingga hari ini saya akan ingat pesan beliau
kepada saya “let the data speak for themselves”.
Kepada penyokong
pembangkang yang beria-ria share video beliau dalam Sesi Soal Jawab TV3 saya
nak tanya kenapa hanya kecoh part “kewangan negara tidak memberangsangkan” dan
buat-buat tak dengar apa yang Dr M cakap iaitu ekonomi Malaysia bertambah baik
berbanding beberapa tahun yang lepas?
Tak nak akui ekonomi
Malaysia sekarang lebih baik berbanding beberapa tahun yang lepas? Biasalah
pembangkang, apa yang buruk dia akan kecoh-kecoh, apa yang baik dia buat tak
nampak.
Rujukan:
1. Hasil Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.1.xls
2. Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.2.xls
3. Kewangan Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.xls
4. Laporan Ekonomi Malaysia 2017/2018: http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/le/1718/bab4.pdf
Salam Syahir,
ReplyDeleteAny chance of you reviving your blog? It would be the right time.
Regards
Good idea, although I'm more on Facebook nowadays http:www.facebook.com/mohdsyahir21.
DeleteWill start posting in this blog again soon. Thanks for visiting.