Monday, 6 November 2017

SKIM PENCEN KERAJAAN

Baru-baru ini kecoh bila ada ura-ura mengatakan bahawa skim pencen kerajaan akan dimansuhkan. Ini berpunca daripada salah faham orang ramai yang menyalah anggap cadangan Menteri Kewangan Ke-II (MKII), Johari Ghani untuk mengkaji semula dasar pencen dengan memperkenalkan skim KWSP kepada penjawat awam yang baru di masa akan datang. MKII juga sudah menafikan beliau bermaksud mahu memansuhkan skim pencen kerajaan sedia ada .

Tetapi ada pula yang kata opsyen KWSP memang sudah ada sekian lama cuma Menteri yang tidak tahu. Kakitangan awam memang sudah diberikan opsyen untuk memilih skim KWSP dan mereka memang mencarum di dalam KWSP sebelum disahkan jawatan mereka di bawah Subseksyen 6A(1) Akta Pencen 1980.

Selepas disahkan jawatan dan sekurang-kurangnya sudah berkhidmat 3 tahun, kakitangan awam juga berhak memilih opsyen pencen dan diberi Pemberian Taraf Berpencen dengan memulangkan borang opsyen bagi Skim KWSP menurut Jadual Kelima. Jika mereka memilih opsyen pencen wang caruman kerajaan (majikan) kepada KWSP akan dipulangkan semula kepada kerajaan dan wang caruman pekerja boleh dikeluarkan oleh kakitangan awam tersebut. Jika mereka memilih skim KWSP, caruman akan diteruskan seperti biasa setiap bulan.

Saya yakin MKII sedar bahawa opsyen KWSP memang sudah ada untuk kakitangan awam pilih. Yang saya nampak banyak yang tidak dapat tangkap apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh MKII. Sebab itu banyak yang melatah menuduh kerajaan tidak ada wang hendak bayar pencen, kerajaan sudah bankrap dan sebagainya.

Ini beza di antara pembuat dasar yang sebenar dan "pembuat dasar" dalam Facebook.

Sebagai MKII yang bertanggungjawab menguruskan kewangan kerajaan, beliau bukan hanya perlu memikirkan dasar-dasar jangka pendek sahaja seperti apa yang perlu ada di dalam bajet tahun depan. Beliau perlu memikirkan apa yang akan berlaku, kesan jangka panjang dan kelestarian kewangan kerajaan jika dasar pemberian pencen kerajaan terus diberikan kepada kakitangan awam dalam masa sepuluh, dua puluh dan tiga puluh tahun yang akan datang.

Skim pencen adalah "defined benefit" iaitu skim di mana majikan menjanjikan akan membayar wang kepada pekerja selepas mereka bersara manakala skim KWSP adalah "defined contribution" iaitu skim berdasarkan sumbangan atau caruman yang dibuat pekerja melalui potongan gaji dan juga sumbangan oleh majikan dalam konteks ini kerajaan.

Setiap tahun jumlah perbelanjaan pencen yang dibelanjakan kerajaan meningkat. Pada tahun 1970 perbelanjaan pencen hanya sekitar RM101 juta dan meningkat setiap tahun kepada RM516 juta (1980), RM1.2 billion (1990), RM4.2 billion (2000), RM11.5 billion dan dijangka mencecah RM24 billion tahun depan (2018). Nisbah perbelanjaan pencen dan ganjaran kepada perbelanjaan mengurus juga semakin meningkat dan kini sudah melebihi 10%. Ini bermaksud 10% daripada perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan diperuntukkan untuk membayar pencen dan ganjaran kepada pesara kerajaan.


Setiap tahun semakin banyak penjawat awam yang akan mencapai umur persaraan (60 tahun). Dengan kemajuan taraf hidup dan sosioekonomi Malaysia yang semakin meningkat, jangkaan hayat rakyat Malaysia juga meningkat atau dalam bahasa mudahnya makin lama orang Malaysia hidup. Jabatan Perangkaan Negara mengunjurkan jangkaan hayat penduduk Malaysia akan terus meningkat daripada 71.9 tahun (lelaki) dan 76.6 tahun (perempuan) pada 2010 kepada 78.0 tahun (lelaki) dan 83.0 tahun (perempuan) pada 2040.



Semakin lama, semakin banyak juga peratusan penduduk kumpulan umur tua iaitu 65 tahun dan ke atas. Pada tahun 2010, kumpulan umur ini hanya mewakili 5% daripada keseluruhan penduduk Malaysia dan pada 2040, Jabatan Perangkaan menjangkakan kumpulan umur ini akan meningkat kepada 14.5%.


Semakin tinggi jangkaan hayat penduduk Malaysia, semakin tinggi kumpulan umur tua di Malaysia, semakin tinggilah perbelanjaan pencen yang perlu ditanggung kerajaan. "Ageing population" adalah isu atau trend besar yang perlu kita hadapi di masa akan datang. Sama seperti apa yang dihadapi oleh negara Jepun dan negara maju yang lain.

Inilah yang cuba dimaksudkan oleh MKII baru-baru ini.

Ia bukannya soal kerajaan tidak ada wang, tidak mampu membayar pencen atau menuju ke arah kebankrapan. Tetapi ianya soal pilihan dasar-dasar yang akan memberi implikasi kepada kewangan kerajaan dan kepada rakyat di masa akan datang. Sebab itu MKII membangkitkan idea untuk berubah daripada skim "defined benefit" kepada "defined contribution" sebagai pilihan atau opsyen dasar di masa hadapan.

Tidak ada masalah untuk kerajaan mengekalkan skim pencen sedia ada, tetapi implikasinya adalah perbelanjaan pencen akan terus meningkat dan nisbah kepada perbelanjaan mengurus juga akan meningkat. Pilihan dasar ini akan memerlukan kerajaan meraih hasil yang lebih tinggi melalui kutipan cukai yang lebih tinggi di masa akan datang. Antaranya adalah kadar cukai seperti GST mungkin dinaikkan untuk menampung kos pencen pesara kerajaan. Kerajaan tidak akan meminjam atau menerbitkan bon untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

Ini tugas dan tanggungjawab pembuat dasar (policymaker), memikirkan untuk jangka masa panjang dan bukannya jangka pendek sahaja seperti rakyat yang hanya memikirkan apa yang kita akan dapat dalam setiap bajet.

Sebab itu kerajaan memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Supaya rakyat sama-sama berfikir cabaran dan solusi bagaimana kita hendak bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara. Hendak jadi negara maju, mentaliti kita juga perlu maju.

Rujukan:


NGA KOR MING PECAH REKOD AHLI PARLIMEN PALING TIDAK BIJAK

Dua tiga hari kebelakangan galak penyokong pembangkang share video tentang bajet. Bila lagi nak acah-acah faham ekonomi dan kewangan kalau tak musim bajet. Tapi tak ada beza dengan penyokong pembangkang yang buta ekonomi, pemimpin mereka juga sama.



Video perbahasan ahli parlimen DAP Nga Kor Ming yang viral baru-baru ini kononnya Bajet 2018 yang baru dibentangkan minggu lepas mencatatkan 5 rekod baru sekaligus iaitu:

1.  Belanja paling banyak duit rakyat – RM282.25 billion
2.  Mencatat hutang paling tinggi di sejarah negara – RM685 billion
3.  Kos bayar hutang paling tinggi di sejarah Malaysia – RM31 billion / tahun depan rakyat Malaysia akan bayar kos hutang RM31 billion – seorang rakyat RM1,000
4.  Defisit kali ke-21 tahun berturut-turut
5.  Belanja pembangunan paling sedikit – RM10 hanya RM1.60 dibelanjakan untuk pembangunan

Nak habiskan video yang panjangnya hanya 1 minit 43 saat ini sangat menyiksakan jiwa, raga, batin dan intelek saya. Bukan sahaja sebab kecetekan ilmu kewangan dan ekonominya tetapi juga sebab Bahasa Melayunya yang menyakitkan telinga.

Tak apa, bagi saya jawab satu persatu:-

1. Bajet 2018 belanja paling banyak duit rakyat sejumlah RM282.25 billion. 

“Rekod” pertama ini sahaja melambangkan kecetekan ilmu Nga Kor Ming. Setiap tahun ekonomi berkembang, maka sudah tentulah setiap tahun bajet kerajaan akan meningkat.

Setiap tahun komitmen kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam, membayar pencen pesara kerajaan, membelanjakan untuk subsidi dan juga pembangunan meningkat. Kecuali pada tahun-tahun ekonomi negara mengalami kemerosotan dan juga hasil kerajaan menurun seperti pada tahun 2009 akibat kesan krisis ekonomi dunia dan juga pada tahun 2015 dan 2016 apabila hasil kerajaan menurun disebabkan kejatuhan harga minyak dunia.

Kenapa Nga Kor Ming tak bising di parlimen apabila perbelanjaan kerajaan persekutuan jatuh daripada RM259 billion (2014) kepada RM257 billion (2015) dan RM252 billion (2016)?



Tahun depan ekonomi dijangka terus berkembang, harga minyak dunia juga dijangka semakin pulih maka hasil kerajaan akan meningkat dan bajet kerajaan juga meningkat.

Potong bajet salah, tambah bajet salah. Apa Nga Kor Ming mahu sebenarnya?

2. Bajet ini mencatat hutang paling tinggi dalam sejarah negara sejumlah RM685 billion

Sekali lagi kedangkalan Nga Kor Ming terserlah apabila menyebut angka hutang kerajaan dalam bentuk angka mutlak. Untuk mendapatkan gambaran yang sebenar kemampuan kerajaan berhutang adalah melihat hutang tersebut relatif kepada saiz ekonomi atau pendapatan negara iaitu KDNK   atau GDP.

Nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK pada tahun 2016 adalah 52.5%, dan yang terbaru (suku ke-2 2017) adalah 52.3%.



Pada tahun 1986 dan 1987 nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK ialah 103% dan 101% masing-masing. Ini bermakna jumlah hutang kerajaan persekutuan pada tahun tersebut lebih besar daripada jumlah pendapatan negara. Jika Malaysia atau kerajaan persekutuan tidak bankrap pada tahun 1986 dan 1987, kenapa pula Malaysia nak bankrap sekarang ketika nisbah hutang kerajaan persekutuan hanya 52% berbanding KDNK negara?


3. Kos bayar hutang paling tinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM31 billion atau RM1 ribu seorang.

Tak pernah ada mana mana badan ekonomi dan kewangan dunia mengira kemampuan membayar semula hutang kerajaan dengan mengira mengikut hutang per kapita (setiap rakyat). Hanya pembangkang yang buta ekonomi macam Nga Kor Ming mengira hutang kerajaan mengikut per kapita.

Kos membayar hutang kerajaan perlu dikira dengan berapa hasil yang dikutip pada tahun tersebut atau ringkasnya jumlah kos membayar faedah hutang kerajaan persekutuan dibahagikan dengan hasil kerajaan yang dikutip.



Pada tahun 2016 nisbah kos bayaran hutang kepada hasil kerajaan persekutuan adalah 12% bermakna 12% daripada hasil kerajaan yang dikutip daripada cukai dan bukan cukai digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan.

Manakala nisbah tertinggi pernah dicatatkan adalah pada tahun 1987 di mana 31% hasil kerajaan digunakan untuk membayar kos hutang kerajaan. Zaman bila guna lebih banyak duit rakyat untuk menanggung kos hutang? 1987 atau 2016?


4. Defisit kali ke-21 tahun berturut-turut.

Sejak merdeka lagi kerajaan mencatatkan defisit iaitu perbelanjaan melebihi daripada hasil kecuali pada tahun 1993 sehingga tahun 1996 di mana ekonomi berkembang dengan begitu pesat sehinggakan kerajaan tidak perlu berbelanja dengan lebih banyak untuk merancakkan ekonomi.



Selepas krisis kewangan Asia tahun 1997-1998 kerajaan terus mencatatkan defisit sehingga sekarang.

Defisit ini ditampung oleh hutang yang diterbitkan oleh kerajaan persekutuan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Seperti yang saya sudah banyak kali cakap, hutang kerajaan adalah hanya untuk perbelanjaan pembangunan dan tidak ada langsung digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti membayar gaji dan pencen kakitangan awam.

Malah nisbah defisit kepada KDNK berjaya dikurang daripada 6.7% (2009) kepada 3.2% (2016) dan dijangka terus turun kepada 2.8% tahun depan.

Ini berbeza dengan nisbah defisit pada tahun 1980an yang mencecah dua angka setinggi 17%.

Kenapa pula hendak takut dengan defisit 21 tahun berturut-turut sedangkan nisbah tersebut semakin menurun dan tidak setinggi 15 hingga 17% seperti 30 tahun yang lalu?

5. Belanja pembangunan paling sedikit 16% berbanding perbelanjaan mengurus 84%.

Isu ini saya sudah jawab di dalam post saya seperti yang dibangkitkan Dr Muhammed Abdul Khalid baru-baru ini. Pada tahun 1988, nisbah perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan juga 84:16.


Untuk bacaan lanjut berkenaan perbelanjaan mengurus vs perbelanjaan pembangunan boleh baca di: http://syahir521.blogspot.my/2017/11/dr-muhammed-khalid-kewangan-negara.html

Seronok jadi pembangkang, apa yang mereka cakap, apa yang mereka bahas tak pernah disemak dengan fakta dan angka. Menipu dan mengelirukan orang dalam parlimen pun tak ada siapa yang peduli. Apatah lagi daripada penyokong mereka sendiri.

Saya sarankan Nga Kor Ming belajar ekonomi dan kewangan atau sekurang-kurangnya upahlah researcher yang ada asas dalam ekonomi dan kewangan. Kalau tak teruskanlah menjadi ahli parlimen yang sesat lagi menyesatkan.

Rujukan:


Thursday, 2 November 2017

DR MUHAMMED KHALID: "KEWANGAN NEGARA TIDAK MEMBERANGSANGKAN"

Dr Muhammed Abdul Khalid: "Kewangan kerajaan tidak memberangsangkan."

Pembangkang: "Kerajaan banyak hutang, Malaysia nak bankrap."


Saya lihat banyak penyokong pembangkang tak cukup jari share video Sesi Soal Jawab TV3 yang membincangkan berkenaan Bajet 2018 minggu lepas yang juga menampilkan Dr Muhammed Abdul Khalid (Dr M) seorang pakar ekonomi yang juga penulis buku terkenal Colours of Inequality, sebuah buku tentang jurang atau ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan di Malaysia. (*Siapa belum baca saya sarankan baca sekarang)

Banyak juga yang tag saya minta saya ulas berkenaan apa yang dikatakan oleh Dr M iaitu apa yang disebut oleh beliau sebagai kewangan negara yang tidak memberangsangkan.

Empat sebab utama Dr M dalam hujahan beliau bahawa kewangan negara tidak memberangsangkan adalah:

1.  Daripada RM212 billion dikutip kerajaan, RM210 billion atau 99% daripadanya digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus (operating expenditure/OPEX) seperti membayar gaji kakitangan awam, membayar faedah hutang kerajaan dan banyak lagi komponen perbelanjaan mengurus yang lain (*yang saya akan sentuh kemudian). Hampir kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan seperti membina sekolah, jalan, hospital, pengangkutan awam dibiayai menggunakan pinjaman atau hutang.

2.  Untuk menjana ekonomi perbelanjaan pembangunan penting. Peratusan yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan hanyalah 17%, manakalah selebihnya 83% adalah perbelanjaan mengurus. Sejak 2008, peratusan perbelanjaan pembangunan semakin menurun berbanding perbelanjaan mengurus yang meningkat.

3.  Hutang kerajaan semakin bertambah. Perbelanjaan untuk membayar hutang kerajaan (RM24 billion) lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan dalam sektor pengangkutan (RM10 billion), pendidikan (RM6 billion) dan kesihatan (RM1.5 billion).

4.  Faedah hutang kerajaan yang dibayar berbanding perbelanjaan mengurus kerajaan semakin meningkat.

Persoalan utamanya adakah kewangan negara atau lebih tepat kewangan kerajaan tidak memberangsangkan? Saya setuju. Kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun ini terutamanya sejak harga minyak dunia jatuh mendadak menjelang pertengahan tahun 2014.

Ini menyebabkan hasil kerajaan persekutuan jatuh dua tahun berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016 daripada RM220 billion (2014) kepada RM219 billion (2015) dan RM212 billion (2016).


Hasil kutipan GST berjumlah RM27 billion (2015) dan RM41 billion (2016) hanya mampu menampung sebahagian daripada kejatuhan hasil petroleum pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Oleh sebab yang demikian, kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan dari segi kutipan hasil KERANA kejatuhan harga minyak dunia yang merupakan antara penyumbang utama hasil kerajaan.

Betul hampir 99% hasil kerajaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti diujar Dr M. Komponen perbelanjaan mengurus termasuklah emolument (gaji kakitangan awam), pencen dan ganjaran (pencen pesara perkhidmatan awam), bayaran khidmat hutang (bayaran faedah hutang kerajaan), bekalan dan perkhidmatan, subsidi, pembelian harta, geran dan pindahan serta perbelanjaan lain.



Tetapi saya tak nampak di mana masalahnya apabila banyak atau semua hasil yang dikutip kerajaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus kerana pada tahun 1986 dan 1987 hasil kerajaan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan. Ini bermakna kerajaan terpaksa meminjam untuk menampung perbelanjaan mengurus seperti gaji kakitangan kerajaan, pencen pesara, membayar hutang dan sebagainya.


Sejak Najib menjadi Perdana Menteri tidak pernah sekalipun hasil kerajaan kurang daripada perbelanjaan mengurus. Apa yang saya pasti jika GST tidak dilaksanakan, perbelanjaan mengurus akan lebih tinggi daripada hasil kerajaan dan kerajaan akan terpaksa meminjam untuk membayar gaji kakitangan awam, pencen, subsidi dan sebagainya.

Memang benar hampir kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan dibiayai melalui pinjaman atau hutang. Sekali lagi saya tak nampak apa masalahnya membelanjakan untuk pembangunan dengan menggunakan hutang. Isi rumah membeli-belah barangan dapur menggunakan gaji, tetapi membeli rumah menggunakan hutang. Perniagaan membayar kos operasi seperti gaji menggunakan pendapatan perniagaan, mereka mengembangkan perniagaan menggunakan pinjaman bank. Sama juga seperti kerajaan.

Perbelanjaan pembangunan adalah pelaburan yang akan menjana pendapatan dan memberi pulangan ekonomi. Apabila kerajaan membina sekolah, jalanraya, hospital, pengangkutan awam termasuk LRT, MRT, ECRL dan lain-lain ianya akan mencipta peluang pekerjaan dan  menambah pendapatan pihak swasta. Semakin tinggi pendapatan pihak swasta termasuk individu dan perniagaan, semakin tinggi pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai di masa hadapan.

Setiap tahun sejak Malaysia merdeka kerajaan sememangnya meminjam wang daripada dalam dan luar negeri untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Tidak pernah pula kerajaan Malaysia bankrap ataupun tidak mampu membayar hutang sendiri.

Isu perbelanjaan mengurus lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan juga adalah isu yang remeh. Apa yang Dr M cakap itu betul. 84% perbelanjaan kerajaan untuk mengurus dan 16% untuk pembangunan. Tapi pada tahun 1988, nisbah perbelanjaan kerajaan juga pada 84:16 sama seperti tahun 2016.


Juga harus anda semua tahu kebanyakan perbelanjaan pembangunan kerajaan di buat di luar bajet melalui syarikat-syarikat milik penuh kerajaan seperti MRT dibina oleh MRT Corp dan Pan Borneo dibina oleh syarikat Pan Borneo yang dibiayai melalui pinjaman oleh Danainfra, LRT3 dibina oleh Prasarana dan dibiayai melalui pinjaman oleh Prasarana dan banyak sekolah, hospital, universiti dibina dan dibiayai oleh public-private partnership (PPP). Sama juga bagaimana KLIA dibina dan dibiayai oleh KLIA Berhad, Putrajaya dibina oleh Putrajaya Holdings menggunakan duit Petronas dan pinjaman, lebuhraya Utara Selatan yang dibina oleh Renong dan akhirnya dibiayai melalui hutang yang dimiliki kerajaan melalui UEM dan KWSP.


Jika perbelanjaan pembangunan di luar bajet kerajaan ini diambil kira, perbelajaan pembangunan sektor awam/kerajaan mencecah hampir RM143 billion pada tahun 2016, berbanding hanya RM40.6 billion yang diperuntukkan di dalam bajet.  Nisbah perbelanjaan pembangunan juga akan meningkat daripada 16% kepada 35% daripada keseluruhan perbelanjaan sektor awam.

Pembangunan negara juga sebenarnya dipelopori oleh sektor swasta dan bukannya sektor kerajaan. Pada tahun 2016 sektor swasta membelanjakan RM212 billion untuk perbelanjaan modal/pembangunan berbanding sektor awam yang membelanjakan RM105 billion.



Setiap tahun hutang kerajaan bertambah dari segi mutlak. Setakat Jun 2017, hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM685 billion. Oleh sebab itu jumlah bayaran balik hutang (faedah) juga meningkat setiap tahun. Sepatutnya nisbah yang perlu kita lihat adalah jumlah perbelanjaan membayar hutang kerajaan kepada hasil kerajaan. 

Tahun lepas (2016) 16% daripada hasil kerajaan digunakan untuk membayar hutang, sepanjang tahun 1981 sehingga 1993 nisbah tersebut melebihi 12% dan pernah mencecah 31% pada 1987. Bayangkan, 31% hasil kutipan cukai digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan. Sekarang hanya 12%, tiba-tiba negara nak bankrap?




Perbelanjaan hutang kerajaan lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan – betul. Tetapi bukankah lebih baik dibandingkan dengan keseluruhan perbelanjaan? Pembangunan tidak terhad kepada pengangkutan, pendidikan dan kesihatan sahaja. Keselamatan, pertahanan, sosial, perumahan, pertanian, luar bandar juga penting.

Kerajaan membelanjakan RM41 billion untuk perbelanjaan pembangunan (tidak termasuk perbelanjaan luar bajet) dan membelanjakan RM26 billion untuk bayaran faedah hutang. Perbelanjaan pembangunan kerajaan masih lebih tinggi daripada perbelanjaan membayar faedah hutang. Malah bayaran semula hutang kerajaan juga adalah untuk pembangunan kerana semua pinjaman yang dibuat kerajaan (kecuali pada tahun 1986 dan 1987) dibuat untuk membangunkan negara.

Jadi berdasarkan ulasan saya di atas berserta sumber-sumber yang saya perolehi daripada Bank Negara dan Perbendaharaan Negara saya simpulkan kewangan kerajaan tidaklah begitu kritikal seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

Saya kenal Dr Muhammed Khalid secara peribadi dan pernah beberapa kali berjumpa dengan beliau dalam suasana formal dan tidak formal. Mengenali beliau, saya faham beliau membuat ulasan berdasarkan data dan angka yang tersedia di luar sana. Beliau adalah seorang yang objektif dan tidak berat sebelah dalam membuat penilaian mahupun ulasan.

Saya juga tidak bersetuju dengan beliau tentang beberapa isu tetapi apabila apabila berhujah kami menggunakan data dan angka. Sehingga hari ini saya akan ingat pesan beliau kepada saya “let the data speak for themselves”.

Kepada penyokong pembangkang yang beria-ria share video beliau dalam Sesi Soal Jawab TV3 saya nak tanya kenapa hanya kecoh part “kewangan negara tidak memberangsangkan” dan buat-buat tak dengar apa yang Dr M cakap iaitu ekonomi Malaysia bertambah baik berbanding beberapa tahun yang lepas?

Tak nak akui ekonomi Malaysia sekarang lebih baik berbanding beberapa tahun yang lepas? Biasalah pembangkang, apa yang buruk dia akan kecoh-kecoh, apa yang baik dia buat tak nampak.

Rujukan:

1. Hasil Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.1.xls

2. Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.2.xls

3. Kewangan Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.xls

4. Laporan Ekonomi Malaysia 2017/2018: http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/le/1718/bab4.pdf

Tuesday, 10 October 2017

WORLD BANK REPORT: BAD NEWS FOR BN?

"Malaysia is expected to grow more rapidly, reflecting improved confidence, higher investment, and the recovery in world trade."
 -page XVII of WORLD BANK EAST ASIA AND PACIFIC ECONOMIC UPDATE OCTOBER 2017-
"Several governments have succeeded in reducing fiscal deficits in 2017, notably Mongolia and Malaysia, but deficits remain high or are on track to increase in many others" 
 -page 2 of WORLD BANK EAST ASIA AND PACIFIC ECONOMIC UPDATE OCTOBER 2017-
"The Malaysian economy is expected to sustain its current growth momentum into 2018 and 2019, albeit at a more moderate pace amid expectation of lower capital expenditure growth"
-page 124 of  WORLD BANK EAST ASIA AND PACIFIC ECONOMIC UPDATE OCTOBER 2017-

Those are excerpts from the latest World Bank's East Asia and Pacific Economic Update October 2017.

It almost sounds that the World Bank is praising the BN government but for some people this report is a bad news for BN.

I'm referring to an "insight" from one Athena Athena that was published by The Malaysian Insight yesterday stating that the report is bad news for BN while he or she conveniently nitpicking figures from it.

The report shows that the World Bank is forecasting that Malaysia's economy will grow by 5.2% in 2017, 5.0% in 2018 and 4.8% in 2019 and with these figures he or she concluded that Malaysia's economy is going weaker.

The context of the "weaker" economic growth forecast made by the World Bank is explained in the page 124 of the report which stated that Malaysia's economic growth is expected to sustain current growth momentum ALBEIT at a more moderate pace amid expectation of lower capital expenditure growth.

Capital expenditure or gross fixed capital formation here means investments made by private and public sectors. The World Bank is expecting Malaysia's investments growth to decrease to 3.2% in 2018 before increasing to 4.2% in 2019 from 6.1% this year.

Other indicators such as private consumption, government consumption and net exports growth are also expected to be sustained but at slower rates in 2018 and 2019.


The expected slowing down of those indicators growth are mainly due to the base effect where most of them have rebounded strongly this year.

For example:

A makcik has sold RM100 worth of kuih yesterday. Today her sales of kuih increased by RM50 to RM150 - a growth of 50%. If her sales increase by RM50 tomorrow - her sales growth will be 33% (RM50 divided by previous day sales = RM150).

Malaysia is a upper middle income country. Its growth has been faster than other countries in the same category such as Argentina, Brazil, Iran, Mexico, Russia, South Africa and Turkey.


While the report does state that Malaysia (and Thailand) household debt exceeds 70% GDP, it does not mention the fact that Malaysian household financial asset to GDP ratio stood at 181% of GDP. In other words Malaysians' financial assets are two times their debt.

BNM Financial Stability and Payment Systems Report 2016

One must look beyond headline figures such as household debt before jumping into any conclusion.

If the GDP numbers haven't benefited Malaysians, income of Malaysians wouldn't have been rising as evidenced in the report of 2016 Household Income and Basic Amenities Survey released by the Department of Statistics yesterday.

According to the report, median monthly household income in Malaysia increased by 6.6% annually. The income growth adjusted for inflation is at 4.4%. Without a growth in GDP, household income would not have grown.

Indonesia and Thailand created more millionaires than Malaysia? I don't see why that's a bad thing for Malaysia. It means income and wealth distributions in Indonesia and Thailand are more unequal than Malaysia. In fact, according to Credit Suisse's Global Wealth Report 2016, Thailand and Indonesia are among the top 10 world's most unequal countries.


Meanhile Malaysia's income inequality has been declining progressively as reported in the 2016 Household Income Report where Gini coefficient has decreased from 0.401 (2014) to 0.399 (2016) where the bottom 40% (B40) household income grew faster than the top 20% in the same period.


Sure our youth unemployment rate is high, even the government acknowledges that. But we need to also acknowledge that youth unemployment is a global trend. In this region, Indonesia, Philippines and Singapore have higher youth unemployment rates than Malaysia. 

Youth Unemployment in Malaysia: Developments and Policy Considerations

High youth unemployment have also been around since the 90s.



That doesn't mean we don't have to tackle the problem or the government is not doing something about it.

We have programs like Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), we are focusing on TVET in the 11th Malaysian Plan and the Malaysian Education Blueprint has outlined meaningful strategies to transform the national education system, empower institutions of higher learning with greater autonomy and accountability, develop technologically savvy and well-rounded graduates.

As a result, unemployed persons in the age group of 15 to 24 years dropped in 2016:


Based on the facts and figures above, clearly it's Athena Athena who's falsifying economic data, selectively quoting reports, omitting good economic news, and twisting the complete economic portrait of Malaysia not Najib.

Thursday, 14 September 2017

TERKEJUT DENGAN PENGETAHUAN AZMIN YANG TERHAD TENTANG ALIRAN PELABURAN NEGARA

Izinkan saya mendedahkan kepalsuan dan kelompangan kenyataan akhbar yang dibuat Azmin Ali di mana beliau melahirkan rasa terkejut terhadap pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak berkenaan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines (MAS) yang berpotensi bernilai sekitar US$10 - 20 billion dan pelaburan KWSP berjumlah US$3 - 4 billion di dalam projek infrastruktur semasa lawatan beliau ke White House baru-baru ini.

Saya akan jawab Azmin mengikut perenggan:

"Saya sangat terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bahawa Malaysia akan melabur sehingga AS$24 billion (RM100 billion) di Amerika Syarikat."

Secara jujur saya sendiri terkesima dengan perenggan pembuka di atas kerana Azmin nampaknya tidak boleh membezakan urusniaga perdagangan iaitu pembelian pesawat Boeing oleh MAS dengan urusniaga pelaburan iaitu pelaburan KWSP dan Khazanah di Amerika Syarikat (US).

Apabila kita membeli sesuatu barangan dari negara luar ia dikira sebagai import. MAS membeli pesawat daripada Boeing bermaksud syarikat Malaysia mengimport barangan daripada syarikat US.

Tahun lepas Malaysia mengimport barangan dari US bernilai RM55.65 billion (US$12 - 13 billion) dan tahun ini (Januari - Julai) nilai import barangan dari US bernilai RM43.23 billion. US merupakan negara sumber import ke-4 terbesar Malaysia di belakang China, Singapura dan Jepun.



Sementara itu, US juga merupakan destinasi eksport ke-3 terbesar negara kita dengan nilai eksport berjumlah RM80.2 billion pada 2016 dan RM45.5 billion tahun ini (Januari - Julai 2017). Jumlah dagangan di antara kedua-dua buah negara bernilai melebihi RM130 billion pada 2016 dan dengan pengumuman pembelian pesawat Boeing baru-baru ini, dijangka aktiviti perdagangan di antara Malaysia dengan US akan kekal meningkat.

"Pelaburan ini kononnya untuk “mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat” tatkala ekonomi kita sedang memerlukan pelaburan lebih besar selain daripada misteri mengapa Malaysia perlu membantu ekonomi terbesar di dunia."

US sememangnya tidak memerlukan pertolongan Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi mereka yang bersaiz US$18.5 trillion tersebut. Ini adalah apa yang kita panggil seni membuat kenyataan. Bagi saya kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri adalah respons terbaik kepada kenyataan Presiden Trump yang berterima kasih kepada Malaysia di atas pelaburan yang dibuat di dalam US selama ini.


Kalau ada satu benda yang saya kagum tentang Azmin Ali, ia adalah kebolehan beliau memperbesarkan semua perkara. Tatkala ekonomi kita sedang memerlukan pelaburan lebih besar? Untuk pengetahuan anda, pelaburan sentiasa menjadi komponen penting ekonomi negara kita.

Tahun lepas (2016), pembentukan modal tetap kasar atau secara ringkasnya pelaburan aset tetap menyumbang kepada 25.7% daripada RM1.23 trillion KDNK negara. RM211 billion pelaburan dibuat oleh sektor swasta manakala sektor awam atau kerajaan membuat pelaburan berjumlah RM105 billion yang menjadikan jumlah pelaburan kepada RM317 billion. Ia hanya akan mengambil masa 5 minit untuk anda mencari data berkenaan jumlah pelaburan di dalam laman web Jabatan Perangkaan Negara atau Bank Negara.


"Malaysia adalah negara yang ekonominya sedang berkembang dan kita sedang melakukan yang terbaik untuk menarik pelaburan dari negara-negara maju, bukannya menghantar wang kita keluar dari negara ini. Baru-baru ini, kita memperoleh pelaburan RM1 bilion daripada IKEA untuk membina pusat pembekalan dan pengedaran serantau untuk Asia Pasifik di Pulau Indah. Ia mewujudkan nilai tambah, menjana pekerjaan dan menggandakan kesan ekonomi negara ini."

Malaysia tidak hanya menerima pelaburan dari luar negara, kita juga melabur di luar negara. Malaysia telah melabur di luar negara melalui pelaburan langsung dan portfolio setiap tahun, ya, setiap tahun. Tahun lepas (2016) pelaburan langsung di luar negara bersih (DIA) adalah RM33 billion, setahun sebelum itu (2015) RM41 billion.


Malaysia mempunyai kedudukan aset antarabangsa yang besar bernilai RM1.73 trillion tahun lepas (2016) atau dalam erti kata yang lain, pelaburan asing terkumpul di luar negara yang dibuat oleh syarikat di Malaysia adalah RM1.73 trillion tahun lepas. Ia bukanlah suatu perkara baru bagi syarikat pelaburan dan syarikat-syarikat lain di Malaysia untuk melabur di luar negara. Di mana Azmin ketika negara kita melabur lebih daripada RM50 billion di luar negara? Kemungkinan besar sibuk merancang bagaimana untuk menjadi Menteri Besar Selangor.


Terima kasih kepada MIDA, sebuah agensi kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab memantau dan memacu pelaburan di dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia, IKEA bersetuju untuk membuka Pusat Pembekalan dan Pengedaran Serantau di Pulau Indah. Tanpa insentif yang disediakan MIDA dan juga lokasi strategik Pulau Indah yang kedudukannya hampir dengan pintu masuk keluar utama negara iaitu KLIA dan Pelabuhan Klang yang dibangunkan kerajaan persekutuan bertahun-tahun dahulu, belum tentu IKEA mahu melabur di Pulau Indah.


"Adalah sukar dipercayai bahawa KWSP, mengikut Najib, akan membelanjakan antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion ke atas pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat. Adakah Perdana Menteri cuba memberitahu kita bahawa membantu Amerika Syarikat membina infrastruktur adalah lebih penting daripada membantu Sabah dan Sarawak membina jalan raya dan paip air?"

KWSP merancang untuk melabur US$3 ke 4 billion di dalam projek pembangunan semula infrastruktur US, bukannya membelanjakan. Ianya adalah pelaburan bukan perbelanjaan.  Nampaknya Azmin gagal membezakan pelaburan yang dibuat oleh dana persaraan dengan perbelanjaan kerajaan. Kerajaan tidak boleh membelanjakan wang KWSP secara langsung untuk menjalankan projek infrastruktur.

Secara tidak langsung wang KWSP boleh digunakan untuk pembangunan dimana KWSP perlu melanggan bon kerajaan iaitu Malaysian Government Securities (MGS) dan bon yang setara dengannya. Kerajaan menerbitkan bon secara berkala untuk menampung perbelanjaannya dan KWSP merupakan salah satu pelabur terbesar bon kerajaan,

Tahun lepas (2016) KWSP memegang RM181 billion bon kerajaan atau 26% daripada jumlah keseluruhan bon kerajaan (RM685 billion). Sebagai pulangan, KWSP menerima pendapatan di dalam bentuk kupon (kadar faedah) setiap tahun di mana pendapatan daripada bon kerajaan menyumbang RM7.7 billion kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP tahun lepas. Pendapatan ini kemudiannya diagihkan semula kepada pencarum KWSP melalui dividen tahunan yang diumumkan.



Setiap tahun kerajaan membelanjakan wang untuk projek infrastruktur di Sabah dan Sarawak. Saya tidak mahu menyuap Azmin semuanya. Dengan RM4 billion rizab tunai kerajaan negeri yang sering dibangga-banggakan Azmin sepatutnya mampu menggaji seorang atau dua pegawai untuk membaca dokumen bajet kerajaan persekutuan dan juga Rancangan Malaysia ke-11.

"Wang dalam KWSP adalah wang amanah untuk rakyat dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya."

Sudah sekian lama KWSP melabur di luar negara dan pelaburan luar negara mewakili hampir 30% (RM212 billion) daripada keseluruhan aset pelaburannya yang bernilai RM731 billion.


Mempelbagaikan pelaburan sebenarnya telah membantu KWSP memaksimakan pulangan ke atas pelaburan dan mengurangkan risiko terdedah kepada hanya satu jenis aset pelaburan sahaja. Tahun lepas, pulangan ke atas pelaburan aset di luar negara KWSP adalah 9.73% iaitu lebih tinggi berbanding aset domestik dengan pulangan ke atas pelaburan berjumlah 6.18%. Jika KWSP tidak membuat pelaburan di luar negara, sudah tentu ia akan mencatatkan pulangan ke atas pelaburan yang lebih rendah dan seterusnya akan menyebabkan ia mengumumkan kadar dividen yang lebih rendah kepada pencarum.


Jikalau Azmin membaca laporan tahunan KWSP sudah tentu Azmin tidak mengeluarkan kenyataan cetek dan tidak berasas seperti di atas.

"Kita memahami pilihan Najib untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun pemimpin tidak boleh menggadaikan kesejahteraan ekonomi negara hanya untuk peluang bergambar."

Saya memahami pilihan jelas Azmin untuk mengelirukan orang Malaysia berkenaan ekonomi dan kewangan negara kerana ia adalah penting bagi Azmin dan pembangkang untuk terus mengelirukan mereka yang tidak maklum dan tidak ambil kisah tentang perkara sebenar.

Seiring dengan tema beliau sendiri Smart Selangor, Azmin sepatutnya meluangkan lebih banyak masa membaca dan menganalisis data aliran pelaburan negara sebelum membuat kenyataan tidak berasas yang tidak melambangkan apa-apa yang serupa dengan "Smart".

Rujukan:



3. Kenyataan oleh Presiden Trump dan Perdana Menteri Malaysia sebelum pertemuan bilateral - The White House: https://www.whitehouse.gov/the-press-office/2017/09/12/remarks-president-trump-and-prime-minister-najib-abdul-razak-malaysia

4. KDNK Malaysia Mengikut Kaedah Perbelanjaan - Bank Negara: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/7/xls/3.3.1.xls

5. Pelaburan Langsung Asing di Luar Negara - Bank Negara: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/7/xls/3.6.9a.xls

6. Kedudukan Pelaburan Antarabangsa - Bank Negara: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/7/xls/3.6.18.xls