Tuesday, 7 April 2020

HENTI KAMBING HITAMKAN PENJAWAT AWAM

HEINEKEN DAN CARLSBERG

Kelmarin "viral" surat pengesahan pengecualian bagi operasi kepada Heineken dan Carlsberg syarikat pembuat minuman beralkohol di media sosial.

Surat itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam.

Surat tersebut mengesahkan bahawa Heineken dan Carlsberg boleh beroperasi kerana termasuk di bawah kategori pembekalan makanan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan sejak 18 Mac yang lalu.

Tersebarnya surat ini menyebabkan Kerajaan dikecam hebat oleh pengguna media sosial dari pelbagai pihak.

Ada kecaman yang berbaur politik - contohnya Kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan atas dasar Kerajaan Melayu Islam membenarkan kilang arak beroperasi, ada kecaman kerana agama Islam yang secara jelas mengharamkan orang Islam dari terlibat daripada dalam segala urusan berkaitan arak yang memabukkan apatah lagi meminumnya, ada juga rasa tidak puas hati kerana kilang-kilang arak ini beroperasi tetapi perniagaan lain terutamanya yang halal seperti gerai dan warung makanan di tepi jalan tidak dibenarkan beroperasi.

Walaubagaimanapun semalam, Kerajaan telah pun membatalkan pengecualian PKP tersebut seperti diumumkan oleh Menteri Pertahanan semasa sidang media harian.

Pada asalnya Free Malaysia Today (FMT) melaporkan bahawa Menteri KPDHEP tidak dimaklumkan, seolah-olah KSU KPDHEP menandatangani surat pengecualian tersebut tanpa pengetahuan Menteri.

Free Malaysia Today - 6 April 2020

Selepas tersebar ura-ura bahawa KSU menandatangani surat ini tanpa pengetahuan Menteri, banyak individu termasuklah individu berpengaruh seperti Mufti Perlis, Ridzuan Tee dan juga ahli politik mengecam KSU sebagai orang yang cuba mensabotaj Kerajaan.




HASNOL ZAM ZAM

Ramai juga yang cuba mengaitkan isu ini dengan pelantikan Hasnol pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan dan menuduh Hasnol sebagai lantikan politik PH. Mereka juga menyebarkan gambar Hasnol bersalaman dengan Menteri KPDNHEP sebelum ini iaitu Saifuddin Nasution pada hari pertama Hasnol bertugas sebagai KSU.


Untuk rekod, Hasnol berpindah ke KPDNHEP daripada Jabatan Perdana Menteri sebelum itu sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) bagi menggantikan KSU sebelum ini Datuk Muez Abd Aziz yang berpindah ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai KSU yang pula mengisi kekosongan di MINDEF yang dikosongkan oleh Datuk Seri Zuki Mohd Ali yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebelum itu.

Hasnol juga berpengalaman selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam sejak tahun 1992 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan KSU di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pernah juga menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kastam.

Tidak timbul isu Hasnol lantikan politik kerana perlantikan beliau sebagai KSU adalah pelantikan biasa yang dibuat oleh JPA untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan utama Kerajaan.

Beliau bukannya ahli mana-mana parti politik yang dilantik secara kontrak ke dalam agensi Kerajaaan sebagaimana lantikan politik yang lain sebaliknya penjawat awam yang dilantik secara tetap ke dalam Kementerian.

PENJELASAN TIMBALAN MENTERI

Kembali kepada isu pengecualian yang diberikan kepada Heineken dan Carlsberg, semalam juga Timbalan Menteri KPDHEP Datuk Rosol Wahid memberi penjelasan tentang perkara tersebut seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Harian Metro - 6 April 2020

Antara perkara yang dijelaskan beliau:

  1. Pengurusan kilang memohon kepada pihak KPDNHEP untuk mengedarkan stok sedia ada 
  2. Kelulusan diberikan berdasarkan permohonan untuk mengedarkan stok bukannya untuk kilang beroperasi kerana potensi kerugian yang akan ditanggung berjumlah RM340 juta
  3. Menteri dan Timbalan Menteri dimaklumkan mengenai perkara itu oleh KSU
  4. KPDNHEP tidak ada kuasa memberi kebenaran beroperasi sebaliknya hanya MITI yang boleh berbuat demikian

Berdasarkan penjelasan dan pengesahan yang dibuat Timbalan Menteri KPDNHEP, sudah sah dan jelas bahawa KSU tidak bertindak di luar pengetahuan pengurusan tertinggi Kementerian iaitu YB Menteri dan YB Timbalan Menteri seperti yang dilaporkan oleh FMT dan dituduh oleh beberapa individu di media sosial.

Saya rasa semua yang menuduh KSU sebagai pensabotaj Kerajaan PN, lantikan PH, bertindak sendiri di luar pengetahuan Menteri dan sebagainya mesti berhenti berbuat demikian. Sebaiknya menarik balik apa yang disiarkan dan "viral" kan pula penjelasan Timbalan Menteri KPDNHEP yang disiarkan semalam.

Tidak logik untuk KSU bertindak sedemikian tanpa pengetahuan Menteri malah KPDNHEP sendiri tidak mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan beroperasi kepada mana-mana syarikat seperti dijelaskan.

KPDHEP seperti mana surat tersebut hanya mengesahkan pengecualian di bawah operasi sektor pembekalan makanan.

Syarikat saya sendiri sebagai pemborong, pembekal dan pengedar makanan asas melalui proses yang sama iaitu memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mendapat kebenaran beroperasi. 

KPDHEP juga terlibat tetapi hanya terlibat dalam menyokong sama ada syarikat saya boleh beroperasi atau tidak.

BELAJAR DARI KESILAPAN

Penyokong PN tidak sepatutnya mengulangi kesilapan PH yang menjadikan penjawat awam sebagai kambing hitam. Sedikit masalah dan kekeliruan yang timbul, terus serang penjawat awam seperti dalam kes ini KSU.

PH semasa mereka mentadbir Kerajaan sering menuduh mereka disabotaj oleh elemen daulah terpendam atau "deep state" yang kononnya didalangi penjawat awam untuk menutup kelemahan dan kegagalan mereka sendiri.

Jangan kita ulangi kesilapan yang sama dibuat oleh PH sehingga menimbulkan rasa tidak percaya dan tidak senang hati di antara pentadbiran dan penjawat awam sebagai tulang belakang pemerintahan negara.

Menyerang KSU atau penjawat awam lain tanpa usul periksa hanya akan menghakis kepercayaan penjawat awam terhadap pentadbiran PN.

Di sini saya ingin memuji Timbalan Menteri KPDNHEP yang menjelaskan perkara sebenar tentang isu surat pengecualian tersebut. Dalam isu sensitif seperti ini, kebiasaannya ahli politik akan mengambil jalan mudah melepaskan tanggungjawab kepada penjawat awam, tetapi YB Datuk Rosol menjelaskan perkara sebenar dan memberi justifikasi kenapa Heineken dan Carlsberg diberi pengecualian tersebut tanpa berlepas tangan menyalahkan KSU.

PENUTUP

Sama ada Heineken dan Carlsberg patut diberi pengecualian untuk mengedar barangan mereka dalam tempoh PKP ini, saya tak mahu ulas, kerana Kerajaan sudah pun membatalkan pengecualian tersebut.

Saya ada pandangan saya yang tersendiri yang mungkin menongkah arus daripada pandangan dan pendapat arus perdana tentang isu ini tetapi biarlah saya ulas di lain hari.

Pokoknya, berhentilah menyerang peribadi sesiapa sahaja terutamanya penjawat awam yang hanya menjalankan amanah mereka sebagai pelaksana dasar "government of the day". 

Jika Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional atau Barisan Nasional atau UMNO sendiri mahu kekal sebagai Kerajaan dan mempunyai peluang untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang, kita wajib belajar dari kesilapan dan tidak mengulangi apa yang PH buat sebelum ini.

Jangan nanti menyesal di kemudian hari.

Monday, 24 June 2019

SARAWAK BANKRAP 2021?

Baru-baru ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat kenyataan bahawa Sarawak akan bankrap dalam masa 3 tahun jika Gabungan Parti Sarawak dibenarkan untuk terus memerintah selepas Pilihanraya Sarawak yang akan datang.

Dalam fundraising dinner di hadapan penyokong-penyokong DAP di Kuching, Lim Guan Eng menuduh bahawa rizab tunai Kerajaan Sarawak berjumlah RM30 bilion akan habis digunakan sekiranya Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Abang Jo terus berbelanja RM11 bilion seperti diumumkan dalam Bajet 2019 tahun lepas.

Lim Guan Eng yang sememangnya terkenal dengan tabiat memetik dan memanipulasi angka berbilion-billion ringgit  bagi tujuan meraih sokongan politik nampaknya tidak serik membohongi rakyat seperti sebelum-sebelum ini.

Persoalannya adakah Sarawak bakal bankrap sekiranya GPS terus dipilih oleh rakyat Sarawak untuk pilihanraya yang akan datang?

Daripada mendengar ceramah propaganda Lim Guan Eng, mari sama-sama kita semak fakta dan angka yang diterbitkan oleh Jabatan Audit Negara setiap tahun bagi Kerajaan Sarawak.

Kedudukan kewangan Kerajaan Sarawak sememangnya kukuh dengan rizab tunai Kerajaan atau Kumpulan Wang Disatukan meningkat setiap tahun.

Sejak 2013, rizab tunai Kerajaan Sarawak meningkat daripada RM23.3 bilion kepada RM30.0 bilion pada tahun 2017.


Kedudukan rizab tunai Kerajaan Sarawak pasti juga meningkat pada tahun 2018 berdasarkan rekod pengurusan kewangan Kerajaan Sarawak yang cemerlang setiap tahun.

Sepanjang tahun 2013 - 2017, Kerajaan Sarawak mencatatkan lebihan belanjawan (surplus) setiap tahun kecuali pada tahun 2016 di mana Kerajaan Sarawak mencatatkan defisit RM272 juta kerana hasil royalti petroleum yang berkurang kesan daripada kejatuhan harga  minyak dunia yang mendadak pada tahun tersebut.



Tuduhan oleh Lim Guan Eng bahawa Kerajaan Sarawak akan bankrap selepas tiga tahun tidak mengambil kira hasil atau pendapatan yang dikutip Kerajaan Sarawak setiap tahun.

Kerajaan Sarawak menjana berbilion Ringgit setiap tahun daripada hasil cukai dan hasil bukan cukai seperti hasil cukai jualan minyak sawit mentah, minyak isi sawit, pampasan gantian hak ke atas hasil minyak dan gas, dividen daripada pelaburan Kerajaan Sarawak dan lain-lain.

Bermula tahun 2019, Kerajaan Sarawak mula mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum yang dianggarkan akan menjana RM3.897 bilion tahun ini. 

Dengan hasil tambahan inilah Kerajaan Sarawak mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah Sarawak iaitu RM11.9 bilion.

Jadi tidak timbul isu Kerajaan Sarawak akan menggunakan rizab tunai RM30 bilion untuk menampung perbelanjaan yang diumumkan jauh sekali Kerajaan Sarawak akan bankrap atau muflis.

Sepatutnya Lim Guan Eng dan DAP berusaha menunaikan janji mereka untuk meningkatkan kadar royalti minyak dan gas untuk Sabah dan Sarawak daripada 5% kepada 20%.

Janji ini termaktub di dalam muka surat 114 Buku Harapan iaitu Janji 41: Memastikan ekonomi Sabah dan Sarawak berkembang dengan lebih pesat demi kemakmuran hidup rakyat seluruhnya.


Kerana janji ini masih gagal dipenuhi oleh DAP dan Pakatan Harapan, Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif sendiri untuk menjana hasil yang lebih tinggi untuk menampung belanjawan tahunan.

Bukan sahaja Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan gagal memastikan kadar royalti minyak dan gas dinaikkan, malah beliau memaksa Petronas membayar special dividend berjumlah RM30 bilion kepada Kerajaan PH kononnya untuk menggantikan wang tuntutan refund GST kepada peniaga-peniaga.

Rakyat Sarawak perlu menolak Pakatan Harapan terutamanya DAP dalam pilihanraya Sarawak yang akan datang.

Niat mereka hanya mahu berkuasa at all cost.

Di peringkat persekutuan mereka gagal menunaikan janji-janji manis dan palsu dan yakinlah bahawa mereka juga akan gagal di peringkat Sarawak.

GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Abang Jo telah membuktikan bahawa mereka berkebolehan dalam menguruskan Kerajaan Sarawak baik dari segi kewangan kerajaan mahupun kebajikan dan pembangunan rakyat.

Belajarlah daripada kesilapan pengundi di Semenanjung Malaysia. 

Rujukan:






6. Ucapan Belanjawan 2019 Sarawak Bagi Tahun 2019: https://cm.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=speeches&sub=speeches_view&nid=57

7. Buku Harapan: https://kempen.s3.amazonaws.com/pdf/Buku_Harapan.pdf

Monday, 6 November 2017

SKIM PENCEN KERAJAAN

Baru-baru ini kecoh bila ada ura-ura mengatakan bahawa skim pencen kerajaan akan dimansuhkan. Ini berpunca daripada salah faham orang ramai yang menyalah anggap cadangan Menteri Kewangan Ke-II (MKII), Johari Ghani untuk mengkaji semula dasar pencen dengan memperkenalkan skim KWSP kepada penjawat awam yang baru di masa akan datang. MKII juga sudah menafikan beliau bermaksud mahu memansuhkan skim pencen kerajaan sedia ada .

Tetapi ada pula yang kata opsyen KWSP memang sudah ada sekian lama cuma Menteri yang tidak tahu. Kakitangan awam memang sudah diberikan opsyen untuk memilih skim KWSP dan mereka memang mencarum di dalam KWSP sebelum disahkan jawatan mereka di bawah Subseksyen 6A(1) Akta Pencen 1980.

Selepas disahkan jawatan dan sekurang-kurangnya sudah berkhidmat 3 tahun, kakitangan awam juga berhak memilih opsyen pencen dan diberi Pemberian Taraf Berpencen dengan memulangkan borang opsyen bagi Skim KWSP menurut Jadual Kelima. Jika mereka memilih opsyen pencen wang caruman kerajaan (majikan) kepada KWSP akan dipulangkan semula kepada kerajaan dan wang caruman pekerja boleh dikeluarkan oleh kakitangan awam tersebut. Jika mereka memilih skim KWSP, caruman akan diteruskan seperti biasa setiap bulan.

Saya yakin MKII sedar bahawa opsyen KWSP memang sudah ada untuk kakitangan awam pilih. Yang saya nampak banyak yang tidak dapat tangkap apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh MKII. Sebab itu banyak yang melatah menuduh kerajaan tidak ada wang hendak bayar pencen, kerajaan sudah bankrap dan sebagainya.

Ini beza di antara pembuat dasar yang sebenar dan "pembuat dasar" dalam Facebook.

Sebagai MKII yang bertanggungjawab menguruskan kewangan kerajaan, beliau bukan hanya perlu memikirkan dasar-dasar jangka pendek sahaja seperti apa yang perlu ada di dalam bajet tahun depan. Beliau perlu memikirkan apa yang akan berlaku, kesan jangka panjang dan kelestarian kewangan kerajaan jika dasar pemberian pencen kerajaan terus diberikan kepada kakitangan awam dalam masa sepuluh, dua puluh dan tiga puluh tahun yang akan datang.

Skim pencen adalah "defined benefit" iaitu skim di mana majikan menjanjikan akan membayar wang kepada pekerja selepas mereka bersara manakala skim KWSP adalah "defined contribution" iaitu skim berdasarkan sumbangan atau caruman yang dibuat pekerja melalui potongan gaji dan juga sumbangan oleh majikan dalam konteks ini kerajaan.

Setiap tahun jumlah perbelanjaan pencen yang dibelanjakan kerajaan meningkat. Pada tahun 1970 perbelanjaan pencen hanya sekitar RM101 juta dan meningkat setiap tahun kepada RM516 juta (1980), RM1.2 billion (1990), RM4.2 billion (2000), RM11.5 billion dan dijangka mencecah RM24 billion tahun depan (2018). Nisbah perbelanjaan pencen dan ganjaran kepada perbelanjaan mengurus juga semakin meningkat dan kini sudah melebihi 10%. Ini bermaksud 10% daripada perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan diperuntukkan untuk membayar pencen dan ganjaran kepada pesara kerajaan.


Setiap tahun semakin banyak penjawat awam yang akan mencapai umur persaraan (60 tahun). Dengan kemajuan taraf hidup dan sosioekonomi Malaysia yang semakin meningkat, jangkaan hayat rakyat Malaysia juga meningkat atau dalam bahasa mudahnya makin lama orang Malaysia hidup. Jabatan Perangkaan Negara mengunjurkan jangkaan hayat penduduk Malaysia akan terus meningkat daripada 71.9 tahun (lelaki) dan 76.6 tahun (perempuan) pada 2010 kepada 78.0 tahun (lelaki) dan 83.0 tahun (perempuan) pada 2040.



Semakin lama, semakin banyak juga peratusan penduduk kumpulan umur tua iaitu 65 tahun dan ke atas. Pada tahun 2010, kumpulan umur ini hanya mewakili 5% daripada keseluruhan penduduk Malaysia dan pada 2040, Jabatan Perangkaan menjangkakan kumpulan umur ini akan meningkat kepada 14.5%.


Semakin tinggi jangkaan hayat penduduk Malaysia, semakin tinggi kumpulan umur tua di Malaysia, semakin tinggilah perbelanjaan pencen yang perlu ditanggung kerajaan. "Ageing population" adalah isu atau trend besar yang perlu kita hadapi di masa akan datang. Sama seperti apa yang dihadapi oleh negara Jepun dan negara maju yang lain.

Inilah yang cuba dimaksudkan oleh MKII baru-baru ini.

Ia bukannya soal kerajaan tidak ada wang, tidak mampu membayar pencen atau menuju ke arah kebankrapan. Tetapi ianya soal pilihan dasar-dasar yang akan memberi implikasi kepada kewangan kerajaan dan kepada rakyat di masa akan datang. Sebab itu MKII membangkitkan idea untuk berubah daripada skim "defined benefit" kepada "defined contribution" sebagai pilihan atau opsyen dasar di masa hadapan.

Tidak ada masalah untuk kerajaan mengekalkan skim pencen sedia ada, tetapi implikasinya adalah perbelanjaan pencen akan terus meningkat dan nisbah kepada perbelanjaan mengurus juga akan meningkat. Pilihan dasar ini akan memerlukan kerajaan meraih hasil yang lebih tinggi melalui kutipan cukai yang lebih tinggi di masa akan datang. Antaranya adalah kadar cukai seperti GST mungkin dinaikkan untuk menampung kos pencen pesara kerajaan. Kerajaan tidak akan meminjam atau menerbitkan bon untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

Ini tugas dan tanggungjawab pembuat dasar (policymaker), memikirkan untuk jangka masa panjang dan bukannya jangka pendek sahaja seperti rakyat yang hanya memikirkan apa yang kita akan dapat dalam setiap bajet.

Sebab itu kerajaan memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Supaya rakyat sama-sama berfikir cabaran dan solusi bagaimana kita hendak bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara. Hendak jadi negara maju, mentaliti kita juga perlu maju.

Rujukan:


NGA KOR MING PECAH REKOD AHLI PARLIMEN PALING TIDAK BIJAK

Dua tiga hari kebelakangan galak penyokong pembangkang share video tentang bajet. Bila lagi nak acah-acah faham ekonomi dan kewangan kalau tak musim bajet. Tapi tak ada beza dengan penyokong pembangkang yang buta ekonomi, pemimpin mereka juga sama.



Video perbahasan ahli parlimen DAP Nga Kor Ming yang viral baru-baru ini kononnya Bajet 2018 yang baru dibentangkan minggu lepas mencatatkan 5 rekod baru sekaligus iaitu:

1.  Belanja paling banyak duit rakyat – RM282.25 billion
2.  Mencatat hutang paling tinggi di sejarah negara – RM685 billion
3.  Kos bayar hutang paling tinggi di sejarah Malaysia – RM31 billion / tahun depan rakyat Malaysia akan bayar kos hutang RM31 billion – seorang rakyat RM1,000
4.  Defisit kali ke-21 tahun berturut-turut
5.  Belanja pembangunan paling sedikit – RM10 hanya RM1.60 dibelanjakan untuk pembangunan

Nak habiskan video yang panjangnya hanya 1 minit 43 saat ini sangat menyiksakan jiwa, raga, batin dan intelek saya. Bukan sahaja sebab kecetekan ilmu kewangan dan ekonominya tetapi juga sebab Bahasa Melayunya yang menyakitkan telinga.

Tak apa, bagi saya jawab satu persatu:-

1. Bajet 2018 belanja paling banyak duit rakyat sejumlah RM282.25 billion. 

“Rekod” pertama ini sahaja melambangkan kecetekan ilmu Nga Kor Ming. Setiap tahun ekonomi berkembang, maka sudah tentulah setiap tahun bajet kerajaan akan meningkat.

Setiap tahun komitmen kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam, membayar pencen pesara kerajaan, membelanjakan untuk subsidi dan juga pembangunan meningkat. Kecuali pada tahun-tahun ekonomi negara mengalami kemerosotan dan juga hasil kerajaan menurun seperti pada tahun 2009 akibat kesan krisis ekonomi dunia dan juga pada tahun 2015 dan 2016 apabila hasil kerajaan menurun disebabkan kejatuhan harga minyak dunia.

Kenapa Nga Kor Ming tak bising di parlimen apabila perbelanjaan kerajaan persekutuan jatuh daripada RM259 billion (2014) kepada RM257 billion (2015) dan RM252 billion (2016)?



Tahun depan ekonomi dijangka terus berkembang, harga minyak dunia juga dijangka semakin pulih maka hasil kerajaan akan meningkat dan bajet kerajaan juga meningkat.

Potong bajet salah, tambah bajet salah. Apa Nga Kor Ming mahu sebenarnya?

2. Bajet ini mencatat hutang paling tinggi dalam sejarah negara sejumlah RM685 billion

Sekali lagi kedangkalan Nga Kor Ming terserlah apabila menyebut angka hutang kerajaan dalam bentuk angka mutlak. Untuk mendapatkan gambaran yang sebenar kemampuan kerajaan berhutang adalah melihat hutang tersebut relatif kepada saiz ekonomi atau pendapatan negara iaitu KDNK   atau GDP.

Nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK pada tahun 2016 adalah 52.5%, dan yang terbaru (suku ke-2 2017) adalah 52.3%.



Pada tahun 1986 dan 1987 nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK ialah 103% dan 101% masing-masing. Ini bermakna jumlah hutang kerajaan persekutuan pada tahun tersebut lebih besar daripada jumlah pendapatan negara. Jika Malaysia atau kerajaan persekutuan tidak bankrap pada tahun 1986 dan 1987, kenapa pula Malaysia nak bankrap sekarang ketika nisbah hutang kerajaan persekutuan hanya 52% berbanding KDNK negara?


3. Kos bayar hutang paling tinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM31 billion atau RM1 ribu seorang.

Tak pernah ada mana mana badan ekonomi dan kewangan dunia mengira kemampuan membayar semula hutang kerajaan dengan mengira mengikut hutang per kapita (setiap rakyat). Hanya pembangkang yang buta ekonomi macam Nga Kor Ming mengira hutang kerajaan mengikut per kapita.

Kos membayar hutang kerajaan perlu dikira dengan berapa hasil yang dikutip pada tahun tersebut atau ringkasnya jumlah kos membayar faedah hutang kerajaan persekutuan dibahagikan dengan hasil kerajaan yang dikutip.



Pada tahun 2016 nisbah kos bayaran hutang kepada hasil kerajaan persekutuan adalah 12% bermakna 12% daripada hasil kerajaan yang dikutip daripada cukai dan bukan cukai digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan.

Manakala nisbah tertinggi pernah dicatatkan adalah pada tahun 1987 di mana 31% hasil kerajaan digunakan untuk membayar kos hutang kerajaan. Zaman bila guna lebih banyak duit rakyat untuk menanggung kos hutang? 1987 atau 2016?


4. Defisit kali ke-21 tahun berturut-turut.

Sejak merdeka lagi kerajaan mencatatkan defisit iaitu perbelanjaan melebihi daripada hasil kecuali pada tahun 1993 sehingga tahun 1996 di mana ekonomi berkembang dengan begitu pesat sehinggakan kerajaan tidak perlu berbelanja dengan lebih banyak untuk merancakkan ekonomi.



Selepas krisis kewangan Asia tahun 1997-1998 kerajaan terus mencatatkan defisit sehingga sekarang.

Defisit ini ditampung oleh hutang yang diterbitkan oleh kerajaan persekutuan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Seperti yang saya sudah banyak kali cakap, hutang kerajaan adalah hanya untuk perbelanjaan pembangunan dan tidak ada langsung digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti membayar gaji dan pencen kakitangan awam.

Malah nisbah defisit kepada KDNK berjaya dikurang daripada 6.7% (2009) kepada 3.2% (2016) dan dijangka terus turun kepada 2.8% tahun depan.

Ini berbeza dengan nisbah defisit pada tahun 1980an yang mencecah dua angka setinggi 17%.

Kenapa pula hendak takut dengan defisit 21 tahun berturut-turut sedangkan nisbah tersebut semakin menurun dan tidak setinggi 15 hingga 17% seperti 30 tahun yang lalu?

5. Belanja pembangunan paling sedikit 16% berbanding perbelanjaan mengurus 84%.

Isu ini saya sudah jawab di dalam post saya seperti yang dibangkitkan Dr Muhammed Abdul Khalid baru-baru ini. Pada tahun 1988, nisbah perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan juga 84:16.


Untuk bacaan lanjut berkenaan perbelanjaan mengurus vs perbelanjaan pembangunan boleh baca di: http://syahir521.blogspot.my/2017/11/dr-muhammed-khalid-kewangan-negara.html

Seronok jadi pembangkang, apa yang mereka cakap, apa yang mereka bahas tak pernah disemak dengan fakta dan angka. Menipu dan mengelirukan orang dalam parlimen pun tak ada siapa yang peduli. Apatah lagi daripada penyokong mereka sendiri.

Saya sarankan Nga Kor Ming belajar ekonomi dan kewangan atau sekurang-kurangnya upahlah researcher yang ada asas dalam ekonomi dan kewangan. Kalau tak teruskanlah menjadi ahli parlimen yang sesat lagi menyesatkan.

Rujukan:


Thursday, 2 November 2017

DR MUHAMMED KHALID: "KEWANGAN NEGARA TIDAK MEMBERANGSANGKAN"

Dr Muhammed Abdul Khalid: "Kewangan kerajaan tidak memberangsangkan."

Pembangkang: "Kerajaan banyak hutang, Malaysia nak bankrap."


Saya lihat banyak penyokong pembangkang tak cukup jari share video Sesi Soal Jawab TV3 yang membincangkan berkenaan Bajet 2018 minggu lepas yang juga menampilkan Dr Muhammed Abdul Khalid (Dr M) seorang pakar ekonomi yang juga penulis buku terkenal Colours of Inequality, sebuah buku tentang jurang atau ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan di Malaysia. (*Siapa belum baca saya sarankan baca sekarang)

Banyak juga yang tag saya minta saya ulas berkenaan apa yang dikatakan oleh Dr M iaitu apa yang disebut oleh beliau sebagai kewangan negara yang tidak memberangsangkan.

Empat sebab utama Dr M dalam hujahan beliau bahawa kewangan negara tidak memberangsangkan adalah:

1.  Daripada RM212 billion dikutip kerajaan, RM210 billion atau 99% daripadanya digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus (operating expenditure/OPEX) seperti membayar gaji kakitangan awam, membayar faedah hutang kerajaan dan banyak lagi komponen perbelanjaan mengurus yang lain (*yang saya akan sentuh kemudian). Hampir kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan seperti membina sekolah, jalan, hospital, pengangkutan awam dibiayai menggunakan pinjaman atau hutang.

2.  Untuk menjana ekonomi perbelanjaan pembangunan penting. Peratusan yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan hanyalah 17%, manakalah selebihnya 83% adalah perbelanjaan mengurus. Sejak 2008, peratusan perbelanjaan pembangunan semakin menurun berbanding perbelanjaan mengurus yang meningkat.

3.  Hutang kerajaan semakin bertambah. Perbelanjaan untuk membayar hutang kerajaan (RM24 billion) lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan dalam sektor pengangkutan (RM10 billion), pendidikan (RM6 billion) dan kesihatan (RM1.5 billion).

4.  Faedah hutang kerajaan yang dibayar berbanding perbelanjaan mengurus kerajaan semakin meningkat.

Persoalan utamanya adakah kewangan negara atau lebih tepat kewangan kerajaan tidak memberangsangkan? Saya setuju. Kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun ini terutamanya sejak harga minyak dunia jatuh mendadak menjelang pertengahan tahun 2014.

Ini menyebabkan hasil kerajaan persekutuan jatuh dua tahun berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016 daripada RM220 billion (2014) kepada RM219 billion (2015) dan RM212 billion (2016).


Hasil kutipan GST berjumlah RM27 billion (2015) dan RM41 billion (2016) hanya mampu menampung sebahagian daripada kejatuhan hasil petroleum pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Oleh sebab yang demikian, kewangan kerajaan memang tidak memberangsangkan dari segi kutipan hasil KERANA kejatuhan harga minyak dunia yang merupakan antara penyumbang utama hasil kerajaan.

Betul hampir 99% hasil kerajaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti diujar Dr M. Komponen perbelanjaan mengurus termasuklah emolument (gaji kakitangan awam), pencen dan ganjaran (pencen pesara perkhidmatan awam), bayaran khidmat hutang (bayaran faedah hutang kerajaan), bekalan dan perkhidmatan, subsidi, pembelian harta, geran dan pindahan serta perbelanjaan lain.



Tetapi saya tak nampak di mana masalahnya apabila banyak atau semua hasil yang dikutip kerajaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus kerana pada tahun 1986 dan 1987 hasil kerajaan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan. Ini bermakna kerajaan terpaksa meminjam untuk menampung perbelanjaan mengurus seperti gaji kakitangan kerajaan, pencen pesara, membayar hutang dan sebagainya.


Sejak Najib menjadi Perdana Menteri tidak pernah sekalipun hasil kerajaan kurang daripada perbelanjaan mengurus. Apa yang saya pasti jika GST tidak dilaksanakan, perbelanjaan mengurus akan lebih tinggi daripada hasil kerajaan dan kerajaan akan terpaksa meminjam untuk membayar gaji kakitangan awam, pencen, subsidi dan sebagainya.

Memang benar hampir kesemua perbelanjaan pembangunan kerajaan dibiayai melalui pinjaman atau hutang. Sekali lagi saya tak nampak apa masalahnya membelanjakan untuk pembangunan dengan menggunakan hutang. Isi rumah membeli-belah barangan dapur menggunakan gaji, tetapi membeli rumah menggunakan hutang. Perniagaan membayar kos operasi seperti gaji menggunakan pendapatan perniagaan, mereka mengembangkan perniagaan menggunakan pinjaman bank. Sama juga seperti kerajaan.

Perbelanjaan pembangunan adalah pelaburan yang akan menjana pendapatan dan memberi pulangan ekonomi. Apabila kerajaan membina sekolah, jalanraya, hospital, pengangkutan awam termasuk LRT, MRT, ECRL dan lain-lain ianya akan mencipta peluang pekerjaan dan  menambah pendapatan pihak swasta. Semakin tinggi pendapatan pihak swasta termasuk individu dan perniagaan, semakin tinggi pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai di masa hadapan.

Setiap tahun sejak Malaysia merdeka kerajaan sememangnya meminjam wang daripada dalam dan luar negeri untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Tidak pernah pula kerajaan Malaysia bankrap ataupun tidak mampu membayar hutang sendiri.

Isu perbelanjaan mengurus lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan juga adalah isu yang remeh. Apa yang Dr M cakap itu betul. 84% perbelanjaan kerajaan untuk mengurus dan 16% untuk pembangunan. Tapi pada tahun 1988, nisbah perbelanjaan kerajaan juga pada 84:16 sama seperti tahun 2016.


Juga harus anda semua tahu kebanyakan perbelanjaan pembangunan kerajaan di buat di luar bajet melalui syarikat-syarikat milik penuh kerajaan seperti MRT dibina oleh MRT Corp dan Pan Borneo dibina oleh syarikat Pan Borneo yang dibiayai melalui pinjaman oleh Danainfra, LRT3 dibina oleh Prasarana dan dibiayai melalui pinjaman oleh Prasarana dan banyak sekolah, hospital, universiti dibina dan dibiayai oleh public-private partnership (PPP). Sama juga bagaimana KLIA dibina dan dibiayai oleh KLIA Berhad, Putrajaya dibina oleh Putrajaya Holdings menggunakan duit Petronas dan pinjaman, lebuhraya Utara Selatan yang dibina oleh Renong dan akhirnya dibiayai melalui hutang yang dimiliki kerajaan melalui UEM dan KWSP.


Jika perbelanjaan pembangunan di luar bajet kerajaan ini diambil kira, perbelajaan pembangunan sektor awam/kerajaan mencecah hampir RM143 billion pada tahun 2016, berbanding hanya RM40.6 billion yang diperuntukkan di dalam bajet.  Nisbah perbelanjaan pembangunan juga akan meningkat daripada 16% kepada 35% daripada keseluruhan perbelanjaan sektor awam.

Pembangunan negara juga sebenarnya dipelopori oleh sektor swasta dan bukannya sektor kerajaan. Pada tahun 2016 sektor swasta membelanjakan RM212 billion untuk perbelanjaan modal/pembangunan berbanding sektor awam yang membelanjakan RM105 billion.



Setiap tahun hutang kerajaan bertambah dari segi mutlak. Setakat Jun 2017, hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM685 billion. Oleh sebab itu jumlah bayaran balik hutang (faedah) juga meningkat setiap tahun. Sepatutnya nisbah yang perlu kita lihat adalah jumlah perbelanjaan membayar hutang kerajaan kepada hasil kerajaan. 

Tahun lepas (2016) 16% daripada hasil kerajaan digunakan untuk membayar hutang, sepanjang tahun 1981 sehingga 1993 nisbah tersebut melebihi 12% dan pernah mencecah 31% pada 1987. Bayangkan, 31% hasil kutipan cukai digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan. Sekarang hanya 12%, tiba-tiba negara nak bankrap?




Perbelanjaan hutang kerajaan lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan – betul. Tetapi bukankah lebih baik dibandingkan dengan keseluruhan perbelanjaan? Pembangunan tidak terhad kepada pengangkutan, pendidikan dan kesihatan sahaja. Keselamatan, pertahanan, sosial, perumahan, pertanian, luar bandar juga penting.

Kerajaan membelanjakan RM41 billion untuk perbelanjaan pembangunan (tidak termasuk perbelanjaan luar bajet) dan membelanjakan RM26 billion untuk bayaran faedah hutang. Perbelanjaan pembangunan kerajaan masih lebih tinggi daripada perbelanjaan membayar faedah hutang. Malah bayaran semula hutang kerajaan juga adalah untuk pembangunan kerana semua pinjaman yang dibuat kerajaan (kecuali pada tahun 1986 dan 1987) dibuat untuk membangunkan negara.

Jadi berdasarkan ulasan saya di atas berserta sumber-sumber yang saya perolehi daripada Bank Negara dan Perbendaharaan Negara saya simpulkan kewangan kerajaan tidaklah begitu kritikal seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

Saya kenal Dr Muhammed Khalid secara peribadi dan pernah beberapa kali berjumpa dengan beliau dalam suasana formal dan tidak formal. Mengenali beliau, saya faham beliau membuat ulasan berdasarkan data dan angka yang tersedia di luar sana. Beliau adalah seorang yang objektif dan tidak berat sebelah dalam membuat penilaian mahupun ulasan.

Saya juga tidak bersetuju dengan beliau tentang beberapa isu tetapi apabila apabila berhujah kami menggunakan data dan angka. Sehingga hari ini saya akan ingat pesan beliau kepada saya “let the data speak for themselves”.

Kepada penyokong pembangkang yang beria-ria share video beliau dalam Sesi Soal Jawab TV3 saya nak tanya kenapa hanya kecoh part “kewangan negara tidak memberangsangkan” dan buat-buat tak dengar apa yang Dr M cakap iaitu ekonomi Malaysia bertambah baik berbanding beberapa tahun yang lepas?

Tak nak akui ekonomi Malaysia sekarang lebih baik berbanding beberapa tahun yang lepas? Biasalah pembangkang, apa yang buruk dia akan kecoh-kecoh, apa yang baik dia buat tak nampak.

Rujukan:

1. Hasil Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.1.xls

2. Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.2.xls

3. Kewangan Kerajaan Persekutuan: http://www.bnm.gov.my/files/publication/msb/2017/9/xls/3.1.xls

4. Laporan Ekonomi Malaysia 2017/2018: http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/le/1718/bab4.pdf